Skuad kendalian Tan Cheng Hoe meraih gol pertama menerusi Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-26 selepas berjaya menolak masuk bola muntah hasil percubaan Mohamadou Sumareh yang pada mulanya terkena palang.
Jaringan kedua negara diperoleh pada masa kecederaan babak pertama yang menyaksikan Harimau Malaya diadiahkan sepakan penalti dan ia mudah disudahkan Zaquan Adha Abd. Razak.
Memasuki babak kedua, Malaysia semakin bernafsu apabila melakukan asakan bertubi-tubi terhadap gawang lawan dan pada minit ke-62 penyerang Pahang, Sumareh hampir menambah jaringan bagaimanapun rembatannya berjaya dinafikan oleh Zin Htet.
Empat minit kemudian, giliran pemain gantian, Shahrel Fikri pula hampir menembusi gawang selepas menerima hantaran Safawi bagaimanapun rembatannya berjaya dinafikan oleh Moe Kyaw.
Permainan semakin rancak apabila Sumareh sempat menggelecek beberapa pertahanan Myanmar di depan pintu gol sebelum melepaskan rembatan pada minit ke-67 namun berjaya ditepis Zin Htet.
Pada penghujung permainan, Malaysia meraih gol ketiga selepas pertahanan Myanmar gagal mengeluarkan bola daripada kawasan pertahanan dan percubaannya itu terkena muka Zaquan sebelum menuju tepat ke dalam gawang mereka.
Dalam satu lagi aksi, Vietnam mengesahkan slot separuh akhir selaku juara kumpulan selepas menundukkan Kemboja 3-0 dalam aksi di Stadium Hang Day, Hanoi.
Malaysia yang menghuni tangga kedua kumpulan akan bertemu juara Kumpulan B sama ada Thailand, Filipina atau Singapura yang akan diketahui esok.-UTUSAN ONLINE