Anak buah Tan Cheng Hoe akan melayani kunjungan skuad Gajah Perang, Sabtu ini di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam aksi separuh akhir pertama sementara perlawanan kedua di Stadium Rajamangala pada 5 Disember.
Pertemuan itu sudah pasti menarik buat kedua-dua pasukan dan ia bakal menjadi perlawanan ulangan final Piala AFF 2014 apabila Malaysia tewas dengan agregat 3-4.
Satu lagi aksi separuh akhir menyaksikan pertemuan Vietnam berdepan Filipina pada 2 dan 6 Disember ini.
Thailand mengesahkan kedudukan sebagai juara kumpulan B selepas membenam Singapura 3-0 dalam aksi terakhir kumpulan itu di Stadium Rajamangala, Bangkok, sebentar tadi.
Dalam aksi itu, pasukan tuan rumah memperolehi gol awal menerusi jaringan sendiri pemain Singapura, Irfan Fandi Ahmad pada minit ke-12.
Penyerang Thailand, Supachai Jaided meletakkan pasukannya selesa mendahului 2-0 pada minit ke-23, sebelum Pakorn Prempak meledakkan gol ketiga buat tuan rumah pada minit terakhir perlawanan.
Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan menyaksikan Indonesia terikat 0-0 dengan Filipina di Stadium Gelora Bung Karno.
Semalam, kejayaan Malaysia menewaskan Myanmar 3-0 menyaksikan skuad negara muncul naib juara mengiringi Vietnam yang membenam Kemboja dengan keputusan sama untuk muncul sebagai juara Kumpulan A. - UTUSAN ONLINE