Laos terpaksa akur dengan kekalahan tersebut meskipun mereka terlebih dahulu menjaringkan gol namun ketika permainan seakan-akan berkesudahan seri, Malaysia memperoleh dua gol yang kedua-duanya dijaringkan oleh Norshahrul Idlan Talaha dalam tempoh lima minit terakhir permainan.
“Pada 10, 20 minit pertama kami mengambil masa untuk menyesuaikan dengan keadaan corak permainan. Kami mengecewakan pemain Malaysia apabila mematahkan serangan mereka untuk jangka masa yang lama.
“Tentang gol kedua saya tidak begitu pasti tetapi pemain saya menjerit gol itu terkena tangan, agak mengecewakan. Bagaimanapun, perlawanan telah membenarkan jaringan kontroversi itu dan kami menerimanya.
“Saya gembira dengan persembahan pemain. Benteng pertahanan kami kukuh apabila Malaysia kurang melakukan gerakan untuk menembusi benteng kami,” katanya kepada pemberita selepas menggantikan ketua jurulatih, V. Sundramoorthy yang kehilangan suaranya di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Kekalahan itu menyebabkan Laos terperosok di dasar Kumpulan A tanpa sebarang pungutan mata dan mereka akan menghadapi Myanmar pada Jumaat ini di Stadium Nasional Laos, Vientiane untuk aksi ketiga kumpulan.
“Kami mengambil perlawanan satu demi satu dan selepas ini kami akan balik untuk melakukan proses pemulihan. Menentang Myanmar merupakan satu lagi perlawanan besar. Saya mengharapkan pemain menunjukkan semangat juang yang sama serta memiliki keazaman yang tinggi untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE