Disebalik kejayaan skuad Harimau Malaya mengutip kemenangan kedua Kejohanan Piala Suzuki AFF apabila menewaskan Laos, 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam, sekumpulan penyokong setia Ultras Malaya mencuri tumpuan dengan kain rentang yang tertulis “berkorban apa saja”.
Tindakan itu adalah bagi memberi penghormatan kepada 6 anggota bomba yang terkorban ketika operasi mencari remaja yang lemas di kawasan perlombongan Taman Putra Perdana, Puchong pada bulan Oktober lepas.
Mereka menunjukkan kain rentang itu sambil menyanyikan lagu ‘ini barisan kita’ untuk menaikkan semangat pemain skuad negara supaya mereka beraksi dengan lebih baik di atas padang.
Warga bomba terharu dengan penghormatan Ultras Malaya
Ketua pengarah bomba Malaysia, Datuk Mohammad Hamdan Hj Wahid mengakui terharu sambil mengucapkan terima kasih kepada Ultras Malaya.
“Sejuta penghargaan kepada penyokong Ultra Pasukan Harimau Malaya di atas penghormatan kepada 6 Wira Merah yang terkorban semasa operasi menyelamat. Saya dan warga JBPM amat terharu dengan penghormatan ini,” katanya melalui laman twitter.
Skuad negara semakin bersemangat buru kemenangan ketiga
Selepas mengutip 6 mata hasil daripada 2 kemenangan ke atas Kemboja dan Laos, skuad kendalian Tan Cheng Hoe bakal berhadapan ujian sebenar pada hari jumaat ini apabila dijadualkan bertemu pasukan pilihan, Vietnam di Hanoi.
2 kemenangan awal tersebut memberikan motivasi tambahan kepada pemain untuk memburu 3 lagi mata bagi memburu tiket ke peringkat separuh akhir Piala Suzuki AFF.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan