Hey berkata, beraksi di depan ribuan penyokong Malaysia bukan perkara mudah untuk dihadapi dan kekalahan tersebut menyebabkan skuad The White Angels itu gagal menempah tiket ke separuh akhir selepas menamatkan saingan di tangga ketiga kumpulan.
“Kami tahu Malaysia memang kuat jika mereka beraksi di tempat sendiri. Kami tahu dengan mencatat keputusan seri sudah memadai, namun, hari ini bukan milik kami. Selamat maju jaya kepada Malaysia untuk menghadapi separuh akhir.
“Kami dibarisi pemain muda dan jelas sekali mereka tidak biasa dengan atmosfera seperti ini dan itu realitinya,” kata jurulatih dari Jerman itu selepas perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Malaysia mencipta rekod kehadiran penonton paling ramai bagi edisi 2018 apabila seramai 83,000 penyokong hadir bagi menyaksikan perlawanan tersebut.
Impian Myanmar untuk ke separuh akhir lebur apabila Norshahrul Idlan Talah meledak gol pembukaan sebelum Zaquan Adha Abd. Razak menyumbat dua gol.
Malaysia layak menempatkan diri dalam empat pasukan terakhir selepas muncul naib juara di belakang Vietnam yang menumpaskan Kemboja dalam satu lagi aksi Kumpulan A, semalam. - UTUSAN ONLINE