KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya melunaskan dendam ke atas Myanmar apabila meraih kemenangan 3-0, pada aksi terakhir Kumpulan A, Piala AFF sekali gus menempah tiket ke separuh akhir.
Tiga mata yang cukup berharga diraih anak buah Tan Cheng Hoe di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi dapat memadam luka di Yangon dua tahun lalu apabila disingkirkan lawan yang sama di peringkat kumpulan.
Kemenangan ketiga itu meletakkan Malaysia yang juga juara 2010 di tangga kedua, dengan sembilan mata di belakang pendahulu Vietnam (10 mata) yang menewaskan Kemboja 3-0 dalam satu lagi aksi Kumpulan A.
Menyedari hanya kemenangan bakal membuka laluan ke separuh akhir, skuad negara mula mengatur gerakan sejak awal dalam usaha untuk memecahkan benteng pertahanan Myanmar.
Selepas percubaan kapten, Zaquan Adha Abd Radzak diselamatkan oleh penjaga gol, Kyaw Zin Htet pada minit ke-23, gol pertama pasukan tuan rumah hadir tiga minit selepas itu.
Sepakan pemain sayap naturalisasi, Mohamadou Sumareh terkena palang, namun penyerang, Norshahrul Idlan Talaha berada tepat pada masanya untuk menolak masuk bola lantunan itu ke dalam gawang untuk menggamatkan 80,000 penyokong Harimau Malaya.
Ia jaringan keempat Norshahrul atau dikenali sebagai Mat Yo selepas membantu Malaysia menewaskan Kemboja 1-0 dan Laos 3-1 sebelum ini.
Namun pintu gol negara cemas seketika apabila Myanmar kendalian jurulatih Jerman, Antoine Hey hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-42, namun Farizal Marlias yang menggantikan Khairul Fahmi Che Mat tangkas menyelamatkan sepakan Aung Thu.
Skuad Harimau Malaya menutup babak pertama dengan kedudukan 2-0, selepas pertahanan pasukan pelawat Lwin Moe Aung menjatuhkan Safawi Rasid di dalam kotak penalti.
Zaquan yang menggalas tugas untuk menyempurnakan sepakan penalti lega apabila bola sepakannya terkena tiang gol sebelum bergolek ke dalam gawang.
Malaysia terus menguasai permainan pada babak kedua, namun hanya berjaya menambah gol ketiga pada minit ke-87, apabila bola yang cuba dikeluarkan pertahanan Myanmar terkena kepala Zaquan sebelum masuk ke gawang.
Di peringkat separuh akhir yang bakal berlangsung secara timbal balik bermula 1 Disember ini, lawan Malaysia bakal ditentukan sama ada Thailand, Filipina atau Singapura yang kini merebut slot ke separuh akhir dalam Kumpulan B.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan