KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menegaskan tidak kisah bertemu mana-mana pasukan pada separuh akhir Piala AFF pada 1 dan 5 Disember ini.
Berdasarkan format pertandingan, Malaysia selaku naib juara Kumpulan A akan berdepan juara Kumpulan B yang kini menjadi rebutan antara Thailand, Filipina dan Singapura.
Apa yang diharapkan Cheng Hoe adalah ‘tuah Bukit Jalil’ sekali lagi memihak anak buahnya selepas menang bergaya 3-0 ke atas Myanmar pada aksi terakhir kumpulan, malam tadi.
“Bagi saya, apa yang penting kami layak ke separuh akhir dan kami perlu melakukan persediaan sebaik mungkin,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
“Bila memasuki separuh akhir, sekali lagi (kami harap) tuah bermain di Bukit Jalil. Kami tak kisah jumpa pasukan mana pun, yang penting kami kena kekalkan corak permainan dan keyakinan pemain.
“Memang setiap kali bermain di Bukit Jalil sambutan penyokong cukup baik dan memberi satu motivasi tinggi buat pemain. Kami tahu mereka (penyokong) datang dari jauh demi melihat kejayaan pasukan,” katanya.
Jaringan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-26 dan dua gol Zaquan Adha Radzak (minit ke-45 dan 87) sudah cukup buat Harimau Malaya menunjukkan Myanmar jalan keluar, sekali gus melunaskan dendam dua tahun lalu.
Lawan Malaysia akan ditentukan malam ini selepas berakhir saingan Kumpulan B yang mana Thailand akan membuat perhitungan dengan Singapura di Bangkok sementara Filipina pula menentang Indonesia di Jakarta.
Selain itu, Cheng Hoe tidak menganggap kemenangan ke atas Myanmar sebagai satu kejayaan pasukannya menutup mulut pengkritik.
“Saya rasa bukan tutup mulut pengkritik dan saya fikir peminat sayang dengan pasukan sebab itu mereka nak pemain ambil cabaran ini untuk bangkit daripada kekalahan dan ia memang menjadi motivasi kepada kebangkitan pasukan.
“Saya harap permainan kami terus meningkat dan saya rasa permainan malam ini (malam tadi) adalah persembahan terbaik dengan keputusan 3-0. Kami nampak karakter sebenar pemain negara,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan