Setiausaha agung FAM, Stuart Ramalingam mengakui pihaknya terkilan dengan kenyataan itu yang berbaur seperti cuba memburukkan dan menyerang badan induk bola sepak negara.
Jelasnya, sebab utama FAM tidak menggunakan perkhidmatan sistem tiket dalam talian yang disediakan oleh PSM kerana menelan kos yang mahal, selain mereka juga perlu menanggung kos sewa stadium.
“Pertama kali kita kecewa dengan komen yang dimuat turun di media sosial oleh PSM. Jika mereka mahu ‘cuci tangan’ tidak mahu terkena tempias dengan komen-komen pedas penyokong berhubung isu tiket itu, mereka boleh buat kenyataan ringkas dengan menyatakan sebarang isu tiket adalah dibawah tanggungjawab FAM.
“Ini tidak, muat naik komen seperti mahu memburukkan FAM. Perkara ini boleh dibincangkan antara kedua-dua pihak secara profesional kerana melibatkan pengurusan bukan dengan cara memuat naik dalam media sosial.
“Jika kami menjual 60,000 tiket dan caj jualan RM3, kami terpaksa membayar sebanyak RM180,000 kepada PSM, ia satu caj yang besar. Pada saya, kami tiada masalah untuk bekerjasama dengan PSM, tapi tindakan yang dilakukan tidak profesional,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini timbul rungutan penyokong ketika mahu melakukan pembayaran serta sistem penebusan tiket yang didakwa menyusahkan sehingga mendorong PSM mengeluarkan kenyataan untuk menafikan bahawa mereka bertanggungjawab dalam penjualan tiket berkenaan.
Tindakan PSM menyerang FAM secara terbuka telah menimbulkan kecaman terhadap badan induk bola sepak berkenaan. - UTUSAN ONLINE