SAFAWI RASID
KUALA LUMPUR 1 Nov. - Juara Liga Super empat kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) menguasai sebahagian besar pencalonan Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2018 (ABK18).
AKBK18 yang bakal diadakan di Kuala Lumpur, Isnin ini turut menyaksikan bintang-bintang muda negara tersenarai sebagai calon akhir untuk beberapa kategori utama.
Kecuali anugerah jurulatih terbaik, JDT menerima pencalonan dalam semua kategori utama yang lain, malah bintang muda sensasi, Safawi Rasid menerima dua pencalonan iaitu Pemain Harapan serta Pemain Tengah Terbaik.
Dalam anugerah Pemain Harapan, Safawi, 21, bakal berdepan saingan sengit penyerang remaja Kedah, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, 19, dan pemain tengah Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat, 19.
Akhyar yang menjadi pemain paling sibuk musim ini apabila beraksi dalam pelbagai kejohanan di semua peringkat turut disenaraikan sebagai calon Penyerang Terbaik bersama Ahmad Hazwan Bakri (JDT) dan Shahrel Fikri Fauzi (PKNP FC).
Selain beraksi bersama Kedah dalam Liga Malaysia, dia turut beraksi bersama skuad bawah 23 (B-23) pada Kejohanan AFC di China Januari lalu, Sukan Asia di Jakarta (Ogos), Kejohanan AFF B-19 di Indonesia (Julai), Kejohanan AFC B-19 di Indonesia (Oktober) serta beberapa perlawanan bersama skuad senior tahun ini. Dia juga bakal menggalas cabaran dalam Piala AFF, bulan ini.
Safawi tersenarai bagi kategori Pemain Tengah Terbaik bersama Nik Akif Syahiran dan Nor Azam Abdul Azih (Pahang).
Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy yang muncul wira pasukan Perak ketika merangkul Piala Malaysia, Sabtu lalu antara tiga calon akhir Penjaga Gol Terbaik bersama Farizal Marlias (JDT) dan Khairul Fahmi Che Mat (Melaka United).
Sebanyak 25 kategori telah disenaraikan bagi ABK kali ini dengan tambahan kategori terbaharu, iaitu Pemain ASEAN Terbaik.
Sembilan daripada kategori itu telah melalui proses saringan oleh Jawatankuasa Saringan ABK18 dan seterusnya undian yang dilaksanakan oleh 23 ketua jurulatih, 23 ketua pasukan dan 23 wakil media.
“Kesemua kategori dan pencalonan yang berkenaan telah diteliti dan disenarai pendek kepada 10 orang calon untuk setiap kategori oleh Jawatankuasa Saringan ABK18 yang terdiri daripada enam ahli panel, termasuk Ketua Jurulatih Bawah-23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee mewakili Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” kata Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan, hari ini. - UTUSAN ONLINE
CALON ANUGERAH ABK18 2018
PENJAGA GOL TERBAIK: Farizal Marlias (JDT), Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy (Perak), Khairul Fahmi Che Mat (Melaka United)
PERTAHANAN TERBAIK : Matthew Davies (Pahang), S. Kunanlan (JDT), Shahrul Saad (Perak)
PEMAIN TENGAH TERBAIK : Nik Akif Syahiran Nik Mat (Kelantan), Nor Azam Abdul Azih (Pahang), Muhammad Safawi Rasid (JDT)
PENYERANG TERBAIK : Ahmad Hazwan Bakri (JDT), Muhammad Akhyar Abdul Rashid (Kedah), Shahrel Fikri Fauzi (PKNP FC)
JURULATIH TERBAIK : B. Sathiananthan (Felda United), Dollah Salleh (Pahang), Mehmed Durakovic (Perak).
PEMAIN IMPORT TERBAIK : Gonzalo Cabrera (JDT), Lee Tuck (Terengganu), Rufino Segovia (Selangor).
PEMAIN ASEAN TERBAIK : Faris Ramli (PKNS FC), Hariss Harun (JDT), Safuwan Baharudin (Pahang).
PEMAIN HARAPAN : Muhammad Akhyar Abdul Rashid (Kedah), Nik Akif Syahiran Nik Mat (Kelantan), Muhammad Safawi Rasid (JDT)
PENYOKONG TERBAIK : JDT, Kedah, Pahang
MEDIA SOSIAL TERBAIK : JDT, Selangor, Terengganu
LAMAN SESAWANG TERBAIK: JDT, Selangor, Terengganu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan