
Shahrul Saad ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di Padang Latihan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di Nilai, hari ini. - Foto Hazreen Mohamad
NILAI: Tonggak pertahanan tengah skuad Harimau Malaya, Shahrul Saad mahu memastikan benteng pasukan negara akan tampil lebih kebal seutuh 'Tembok Besar China' apabila menghadapi jentera serangan Myanmar dalam aksi terakhir Kumpulan A Piala AFF 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
Tidak dinafikan kelonggaran di bahagian pertahanan ketika tewas 0-2 kepada Vietnam dan dibolosi satu gol ketika menang 3-1 ke atas Laos perlu di atasi segera dengan memastikan gawang pasukan tidak mudah dirobek dalam aksi wajib menang itu.
Menurut Shahrul yang juga ketua pasukan Perak, beberapa kesilapan dalam aksi terdahulu tidak akan diulangi dengan ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe sudah memperbaiki kelemahan itu dalam sesi latihan yang dijalankan.
"Berdepan Myanmar dari segi pertahanan kita sudah bersedia dan jurulatih sudah menegur terutamanya mengenai fokus ketika permainan," katanya selepas sesi latihan pasukan di Padang Latihan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, hari ini.
"Saya rasa kawan lain pun sedar akan situasi yang dihadapi kerana kita perlu menang untuk mara ke separuh akhir. Pasukan Myanmar tak jauh beza dengan Vietnam. Penyerang mereka juga laju dan pantas dalam kotak penalti.
"Tetapi kami khususnya di bahagian pertahanan sudah bersedia dan berjanji akan memastikan kubu negara tidak dibolosi seterusnya cuba meraih kemenangan untuk mara ke separuh akhir," katanya yang dijangka bergandingan dengan tonggak pertahanan tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Aidil Zafuan Abd Radzak.
Kekalahan pertama kepada Vietnam selepas menang 1-0 ke atas Kemboja dan 3-1 dengan Laos meletakkan Harimau Malaya dalam misi wajib menang ke atas Myanmar yang kini menduduki tangga teratas kumpulan namun berkongsi enam mata bersama Vietnam dan Malaysia.
Selain itu, Malaysia perlu menang dengan jumlah jaringan yang besar untuk berada dalam kedudukan lebih selesa.
Ujar Shahrul lagi, dia turut menyimpan impian untuk mara lebih jauh dengan sasaran menjuarai saingan kali ini bagi menutup musim 2018 dengan nota cemerlang selepas turut berjaya membantu Perak menjulang Piala Malaysia bulan lalu.
"Sejak saingan Piala AFF bermula, saya sering jadikan kejayaan memenangi Piala Malaysia sebagai motivasi buat saya untuk bantu pasukan ke final dan cuba jadi juara," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan