MUHAMMAD AKRAM MAHINAN (kiri) diberi kepercayaan oleh Tan Cheng Hoe untuk merancang permainan untuk tiga perlawanan yang telah dilalui Malaysia dalam kempen Piala AFF 2018.
KUALA LUMPUR 20 Nov. - Walaupun cara permainan tonggak tengah Harimau Malaya, Muhammad Akram Mahinan dikritik hebat penyokong tegar skuad negara, namun dia tidak mengambil hati terhadap perkara tersebut sebaliknya menegaskan bahawa jurulatih yang lebih berhak menilai prestasinya.
Pemain Kedah itu mengakui setiap penyokong mahukan kemenangan menjadi milik pasukan negara setiap kali beraksi di padang, tetapi mengingatkan mereka bahawa pemain juga menjadikan perkara tersebut sebagai matlamat utama.
Jelasnya, setiap kali diturunkan dia sentiasa berusaha keras menjalankan tugas yang diberikan oleh jurulatih Tan Cheng Hoe.
“Bagi saya selagi jurulatih percaya kepada saya dan saya akan main ikut perancangan pasukan maka itu tidak menjadi masalah bagi saya.
“Orang (penyokong) puas hati atau tidak, saya tetap perlu bermain bermati-matian di atas padang. Mungkin ramai tidak memahami tugas saya namun setiap kali diturunkan saya telah menjalankan peranan saya sebaik mungkin.
“Saya tidak katakan saya sempurna kerana setiap hari saya akan sentiasa berusaha memperbaiki kekurangan dan mempertingkatkan tahap permainan saya untuk menjadi lebih baik,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Padang A Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), hari ini.
Akram menjadi pilihan utama Cheng Hoe untuk menggerakkan jentera tengah sepanjang tiga perlawanan Piala AFF 2018 yang menyaksikan pasukan negara melakar dua kemenangan iaitu menewaskan Kemboja 1-0 dan Laos 3-1 tetapi tewas 0-2 kepada Vietnam.
Bagi melayakkan diri ke separuh akhir Piala AFF, skuad Harimau Malaya tiada pilihan selain menewaskan Myanmar dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan