HAMIDIN (depan, tiga dari kiri) pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan ahli gabungan FAM di Seri Kembangan semalam.
BAGI merealisasikan kejayaan Peta Hala Tuju Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau Roadmap F:30, badan induk bola sepak negara sedia berkongsi maklumat mengenai perkembangan semasa dengan setiap ahli gabungan, tegas Presidennya, Datuk Hamidin Mohd. Amin.
FAM semalam mengadakan perjumpaan dengan pemimpin tertinggi ahli gabungannya sambil berkongsi visi dan misi ke arah memastikan pemegang taruh utamanya memahami tuntutan di sebalik pelancaran F:30 baru-baru ini.
FAM turut melancarkan Projek Pemerkasaan Ahli Gabungan (ACE) bertujuan memberi khidmat sokongan dan bantuan dari sudut urus tadbir, teknikal dan pembangunan pertandingan kepada anggota gabungannya.
Hamidin memberitahu, pihaknya sentiasa menitikberatkan pemerkasaan ahli gabungan agar mereka mampu bergerak seiring dengan badan induk berkenaan bagi mewujudkan ekosistem menyeluruh bagi mencapai matlamat F:30.
“Ramai pihak yang bimbang sekiranya ahli gabungan tidak memberikan sokongan kerana kejayaan misi ini akan tercapai hasil kerjasama ahli gabungan, FAM hanya sebagai pusat bagi memastikan inisiatif ini diterjemahkan. Jadi, ahli gabungan perlu memberikan sokongan dalam semua program yang dijalankan.
“Pada mesyuarat Exco lalu, saya telah memberitahu dalam setiap perjumpaan selepas 24 November yang mana setiap tiga bulan kita akan berikan maklumat secara terperinci tentang perjalanan program termasuk kerjasama daripada semua 20 ahli gabungan.
“Kita lakukan semua ini bagi membuktikan ketelusan supaya semua pihak dapat tahu setakat mana perkembangan semasa dan tahap keberkesanan misi F:30,” katanya di Seri Kembangan semalam.
Projek ACE itu dibahagi kepada tiga teras iaitu pengurusan dan pentadbiran, pembangunan bola sepak serta pembangunan pertandingan yang mana ahli gabungan FAM boleh membuat permohonan untuk menerima geran dan bantuan kepakaran urus tadbir serta teknikal daripada badan induk berkenaan bermula 2019.
Pada masa sama, projek itu turut menyediakan khidmat sokongan dan bantuan dari segi urus tadbir seperti pengurusan kewangan, perundangan, pemasaran dan penajaan, media dan komunikasi.
Turut disediakan ialah program pembangunan kelab penyokong serta program tindik di FAM selain penilaian teknikal menerusi kursus kejurulatihan dan penyediaan peralatan serta bengkel berkaitan sistem pengurusan liga dan pertandingan berasaskan elektronik serta dana untuk penganjuran liga negeri.
Dalam pada itu, Hamidin meluahkan ia adalah idea utama yang mahu diketengahkan selepas menerajui FAM kerana merasakan perkara tersebut merupakan kelemahan utama bola sepak negara.
“Ini adalah salah satu dalam misi dan visi FAM, semua kena faham selepas saya naik sebagai presiden, matlamat saya telah diterjemahkan dalam Exco dan kini menjadi misi utama FAM.
“Berdasarkan pengalaman saya, inilah kelemahan bola sepak kita dan saya mahu semua ahli gabungan berdiri lebih teguh.
“Saya mahu semua ahli gabungan mempunyai pengetahuan yang luas bersama staf-staf yang ada dalam setiap pasukan tentang semua perkara,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan