Pelbagai drama tercetus pada aksi tersebut apabila pengadil perlawanan, Suresh Jayaraman menimbulkan pertikai­an ramai pihak apabila dilihat gagal mengawal perlawanan dengan baik termasuk melayangkan dua kad merah masing-masing kepada pemain Perak, Gilmar da Silva dan pemain TFC I, Lee Tuck.
Malah, Tunku Ismail mengakui hairan serta tidak mengetahui Suresh dipilih menjadi pengadil perlawanan akhir Piala Malaysia berkenaan.
Justeru, Tunku Ismail percaya sudah tiba masanya pengadil-pengadil import perlu dibawa masuk ke Malaysia bagi menangani situasi seperti final Piala Malaysia agar lebih profesional dengan memberikan rujukan sistem pengadilan pada Liga Thailand.
“Inilah sebabnya MFL mahu membawa pengadil dari luar negara untuk perlawanan penting tetapi Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia), Subkhiddin Salleh tidak bersetuju.
“Subkhiddin katakan ia se­perti memperkecilkan pengadil tempatan. Itu bukan sebabnya. Ini adalah kerana kita perlukan bantuan, anda boleh membaca artikel MFL sebelum ini,” titah Tunku Ismail dalam beberapa catatan pada laman sosial, Twitter kelmarin.
Perak menjuarai Piala Malaysia buat kali kelapan selepas mengalahkan TFC I 4-1 dalam penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 selepas tamat masa perlawanan sebenar dan masa tambahan 30 minit.