WINDSOR PAUL JOHN
KUALA LUMPUR 29 Okt. - Pengadil tempatan perlu diberi peluang menimba pengalaman dan pendedahan untuk membolehkan mereka dipilih oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi mengendalikan perlawanan di peringkat antarabangsa.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John menegaskan, jika pengadil tempatan tidak diberi pendedahan terbaik, mereka bakal terlepas peluang mengadili perlawanan peringkat tertinggi dunia.
“Bagaimanapun saya tidak kata, keputusan membawa pengadil luar untuk mengendalikan beberapa perlawanan utama perkara yang tidak bagus.
“Jika ia dirasakan dapat membawa impak baik kepada bola sepak Malaysia, terpulang kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian di antara AFC dengan DDMC Fortis Limited.
Windsor berkata demikian ketika mengulas mengenai hasrat Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk membawa masuk pengadil dari luar negara bagi mengendalikan perlawanan utama Liga Malaysia.
Hari ini, Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengumumkan akan mewujudkan Badan Bebas Pengadil bermula musim depan untuk menggunakan kepakaran luar bagi meningkatkan standard pengadil tempatan berikutan kontroversi melibatkan pengadil pada final Piala Malaysia, Sabtu lalu.
Windsor menjelaskan bahawa AFC juga menggunakan khidmat pengadil luar dari Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Amerika Tengah dan Caribbean (CONCACAF) tetapi ia lebih kepada kerjasama melibatkan program pertukaran. - UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan