
BOJAN Hodak
KUALA LUMPUR: “Pemain muda negara begitu naif untuk menghadapi kejohanan di peringkat Asia,” kata jurulatih skuad bawah 19 (B-19) tahun negara, Bojan Hodak.
Itu kesimpulan yang diberikan pengendali dari Croatia itu selepas anak buahnya terpaksa ‘pulang awal’ daripada Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 apabila gagal meraih sebarang kemenangan dalam tiga aksi yang diharungi.
“Berdasarkan situasi ini, pemain kita begitu naif untuk beraksi di peringkat sebegini. Kita gagal menyudahkan peluang yang sukar didapati namun kita mudah memberikan gol kepada pihak lawan.
“Jadi, kita harus mengukuhkan lagi program pembangunan pemain muda. Saya tidak boleh memperbaiki masalah ini dalam tempoh dua minggu tetapi ia memerlukan masa bertahun-tahun.
“Kita perlu sentiasa didedahkan dengan latihan pada intensiti yang tinggi supaya kita bersedia menghadapi perlawanan di peringkat yang lebih tinggi,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan, malam tadi.
Bagaimanapun, Hodak mengakui barisan pemainnya tetap berjaya menampilkan persembahan yang baik terutamanya selepas melihat apa yang berjaya dicapai sepanjang tahun ini.
“Secara keseluruhan, generasi ini berjaya melakukan sesuatu dengan muncul juara Kejuaraan Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) 2018 dan juga layak ke saingan AFC secara merit.
“Jadi, kita perlu meneruskan momentum ini kerana selepas kita layak pada edisi kali ini, kita sepatutnya terus layak pada edisi seterusnya. Jika kita dapat lakukannya, masa depan bola sepak negara tetap cerah,” katanya.
Terdahulu, kempen pemain muda negara berakhir selepas tewas 0-2 di tangan China pada aksi terakhir Kumpulan D di Stadium Pakansari, Bogor.
Ketika Arab Saudi sudahpun memberi ‘bantuan’ dengan menewaskan Tajikistan 3-1, peluang ini disia-siakan anak buah Hodak apabila mereka membenarkan China yang sebelum ini gagal meledak sebarang gol dalam dua aksi terdahulu membolosi gawang skuad negara sebanyak dua kali.
Situasi ini menyaksikan skuad negara menghuni tangga tercorot Kumpulan D dengan satu mata, mengulangi nasib sama dengan skuad ‘adik’ yang turut menghuni tangga tercorot pada aksi Kejuaraan Bawah 16 tahun (B-16) AFC 2018, bulan lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan