Hodak: Pemain perlu bukti kemampuan bagi hidupkan peluang ke Piala Dunia B-20
SKUAD bawah 19 tahun (B-19) negara menggalas misi wajib menang ke atas China di Indonesia malam ini sambil mengharapkan Tajikistan tewas kepada Arab Saudi bagi perhitungan terakhir Kumpulan D Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-19 untuk memperoleh slot ke peringkat suku akhir.
Malaysia bakal berdepan pasukan tercorot kumpulan di Stadium Pakansari, Cinibong bagi menentukan hala tuju pasukan selepas ini sama ada melangkah ke peringkat seterusnya atau sebaliknya.
Pengendalinya, Bojan Hodak menegaskan, para pemain perlu berada pada tahap yang lebih baik jika mahu memastikan mereka mara ke peringkat seterusnya selepas perhitungan terakhir.
“Sekarang kami perlu pergi ke satu tahap lain yang lebih baik untuk memastikan pasukan mampu melangkah ke peringkat seterusnya.
“Jika kami mampu melakukannya, kita akan lihat kerana pada setiap perlawanan pemain cuba melakukan yang terbaik kerana saya sentiasa percaya kepada pasukan.
“Saya percaya mata pertama yang kami peroleh untuk aksi kedua dapat memberikan keyakinan kepada pemain untuk berdepan perhitungan terakhir kali ini.
“Saya sentiasa berkata kepada pemain ketika dalam bilik persalinan semasa rehat. Saya tidak boleh masuk ke dalam padang untuk bermain, sebaliknya mereka sendiri perlu bermain dan membuktikan kemampuan masing-masing,” katanya.
Arab Saudi memimpin Kumpulan D dengan pungutan enam mata hasil kemenangan ke atas Malaysia dan China, manakala Tajikistan berada di tangga kedua (empat mata), diikuti Malaysia (satu mata).
China pula boleh melupakan kejohanan AFC B-19 musim ini selepas gagal mengutip sebarang mata selepas tewas dalam dua perlawanan.
Empat pasukan terbaik yang layak ke separuh akhir bakal mendapat tiket beraksi pada Piala Dunia B-20 di Poland tahun depan.
Pencapaian terbaik Malaysia pada saingan AFC B-19 adalah muncul naib juara (1959, 1960) dan kali terakhir pada 1968 selepas tewas 0-4 kepada Burma di pentas final ketika Korea Selatan menjadi tuan rumah kejohanan.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan