HODAK (kanan) mahu para pemain memberi komitmen tinggi pada aksi wajib menang ke atas China jika mahu menempah slot suku akhir Kejuaraan AFC B-19 di Indonesia Jumaat ini.
JIKA ingin mara ke peringkat seterusnya, jangan ulang kesilapan ‘budak-budak’, tegas jurulatih skuad bawah 19 tahun (B-19) negara, Bojan Hodak selepas pasukannya terikat 2-2 ketika berdepan Tajikistan pada aksi kedua Kumpulan D Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-19 kelmarin.
Perkara tersebut diluahkan Bojan selepas pasukannya memberikan gol kedua yang mudah kepada pasukan lawan meskipun mereka melakukan pembukaan yang baik apabila terlebih dahulu mendahului permainan.
“Meskipun Tajikistan menunjukkan aksi yang positif ketika menundukkan China dan kali ini secara taktikalnya kami tahu apa yang perlu dilakukan, namun malangnya pemain melakukan kesilapan yang boleh dianggap seperti ‘budak-budak’ yang kebiasaannya dilakukan oleh pemain berusia 13 atau 14 tahun.
“Jika mereka mahu pergi lebih jauh, perkara seperti ini sememangnya tidak boleh diterima. Berdasarkan hukuman penalti pertama saya enggan memberikan sebarang komen dan perlu melihat ulang tayang terlebih dahulu.
“Bagi gol kedua, saya rasakan perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku apabila bermain pada peringkat Asia kerana terdapat enam ke tujuh pemain dalam situasi tersebut tetapi mereka tetap gagal memberikan reaksi yang baik dan masih tertunggu-tunggu antara satu sama lain.
“Meskipun mereka bangkit pada babak kedua, namun saya tetap merasakan keputusan 2-2 adalah satu catatan yang teruk,” katanya selepas perlawanan tersebut.
Dalam aksi di Stadium Patriot Chandrabhaga, Bekasi itu, skuad negara berjaya mengejutkan pasukan Asia Tengah tersebut menerusi jaringan awal Muhd. Hadi Fayyadh pada minit ke-11.
Bagaimanapun, pasukan lawan kembali menyamakan kedudukan menerusi jaringan penalti Ehsoni Panshanbe (m-33) sebelum Yodgorov Dale terus meletakkan Tajikistan di depan pada masa kecederaan babak pertama.
Skuad muda Harimau Malaya kembali mengikat kedudukan menjadi 2-2 menerusi Nabil Hakim Bokhari (m-55) sebelum pemain pertahanan tersebut dilayangkan kad merah selepas melakukan terjahan keras sehingga menyebabkan bahagian buku lali Fuzaylov Ziyovuddin terkehel pada minit ke-80.
“Sejujurnya aksi kali ini pastinya akan diingati semua kerana pemain Tajikistan berdepan kecederaan yang teruk. Bagi saya ia adalah satu terjahan 50/50 dan tiada sebarang niat jahat daripada Nabil,” ujarnya.
Skuad negara mempunyai misi besar iaitu wajib menang ke atas China pada aksi terakhir Kumpulan D, Jumaat ini sekiranya mahu menghidupkan peluang ke peringkat suku akhir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan