TUNKU ISMAIL SULTAN IBRAHIM
KUALA LUMPUR 29 Okt. - Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akan menubuhkan Badan Pengadilan Bebas bermula musim depan bagi meningkatkan mutu pengadilan Liga Malaysia.
Langkah tersebut bukan mahu memperlekehkan kemampuan pengadil tempatan, sebaliknya kepakaran luar digunakan bagi meningkatkan standard pengadil tempatan.
Penubuhan badan bebas tersebut diumumkan Pengerusi MFL, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam Twitter rasminya, HRH Crown Prince of Johor hari ini susulan kontroversi melibatkan mutu pengadilan lemah Suresh Jayaraman pada final Piala Malaysia, Sabtu lalu.
“MFL membuat keputusan untuk menubuhkan Badan Bebas Pengadil bagi meningkatkan standard pengadil. Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut berada dalam badan bebas itu yang akan berfungsi menjelang musim 2019.
“Kami juga akan menghantar 25 pengadil baharu ke Jepun untuk meningkatkan kualiti pengadilan.
“Pengadil tempatan dan pengadil asing akan bekerjasama selain perancangan juga sedang dilakukan untuk mengadakan kursus pengadil oleh bekas pengadil Liga Perdana Inggeris (EPL),” katanya.
Tunku Ismail sebelum ini turut mengkritik mutu pengadilan Suresh dalam pertemuan antra Terengganu dan Perak di Stadium Shah Alam, sambil mempersoalkan bagaimana dia boleh dipilih mengendalikan perlawanan itu.
Bekas presiden FAM itu berkata, MFL pernah menyatakan hasrat untuk membawa pengadil dari luar negara untuk mengendalikan perlawanan penting tetapi tidak dipersetujui Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Salleh, yang mendakwa tindakan itu seolah-olah memperkecilkan bakat pengadil tempatan. - UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan