Kemenangan 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedudukan terikat 1-1 dalam 120 minit perlawanan ternyata membangkitkan kemarahan penyokong lawan yang disifatkan sukar menerima kekalahan kepada jiran serumpun, apatah lagi laman sendiri.
Segalanya bermula sebelum wisel permulaan ditiupkan lagi apabila penyokong tuan rumah didakwa sengaja memprovaksi pemain dan staf kejurulatihan Malaysia B-21 kononnya sebagai perang psikologi bagi menjatuh moral pasukan.
‘Perang’ yang dicipta itu seakan menjadi apabila Indonesia berjaya merobek gawang skuad negara seawal minit kedua menerusi jaringan Egy Maulana Vikri namun kedudukan itu tidak kekal lama apabila Muhammad Syaiful Alias meledak jaringan penyamaan buat Malaysia pada minit ke-15.
Salah seorang pemain skuad B-19 kebangsaan ketika dihubungi Utusan Online memberitahu, keadaan menjadi semakin tegang selepas tamatnya penentuan sepakan penalti di Stadium Gelora Delta, Sidoarjo itu apabila penyokong Indonesia mula melempar pelbagai objek ke dalam padang dan kawasan tempat duduk pasukan negara.
Tambah membimbangkan, ada di antara pagar stadium rosak apabila dicabut penyokong sebelum cuba menceroboh kawasan pada namun tindakan itu sempat dihalang pihak berkuasa.
“Ada provokasi sikit. Ini kerana skuad Malaysia B-19 tidak pernah kalah dengan mereka (bagi peringkat umur tersebut). Dia provokasi pemain kita.
“Kami kena baling botol dan pelbagai lagi objek. Takut juga sebab tengok pagar stadium telah rosak kerana dicabut penyokong tuan rumah. Ada yang masuk ke padang cuba ceroboh tapi Alhamdullillah semuanya dapat dikawal,” katanya.


Video dari MEDIA SOSIAL
Sementara itu, pemain tersebut berkata, insiden itu sedikit pun tidak melenturkan semangat mereka untuk beraksi menentang Myanmar pada aksi final yang dijangka berlangsung pada pukul 4.30 petang esok.
“Ya, ini merupakan pembakar semangat untuk saya dan kawan-kawan. Kami mahu buktikan bahawa Malaysia mampu menjulang Piala AFF di bumi Indonesia,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE