AFF di dalam laman sesawang www.aseanfootball.org, menegaskan perlawanan akhir itu tetap akan berlangsung di Stadium Delta Sidoarjo, Surabaya pada pukul 8 malam waktu Malaysia, biarpun perlawanan separuh akhir antara Malaysia dengan Indonesia di stadium sama semalam dicemari dengan kekecohan yang dilakukan oleh sesetengah penyokong tempatan.
AFF juga berkata perlawanan menentukan tempat ketiga dan keempat antara Thailand dengan Indonesia akan berlangsung terlebih dahulu pada pukul 4.30 petang waktu Malaysia di stadium yang sama.
Dalam perkembangan yang sama, AFF berkata jawatankuasa penganjur kejohanan dengan kerjasama Polis Republik Indonesia (POLRI) sudah mengambil langkah yang sewajarnya bagi memastikan keselamatan pemain dan pegawai pasukan di dalam perlawanan akhir esok.
Malaysia menewaskan Indonesia 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam perlawanan separuh akhir semalam.
Berikutan kekalahan itu, ada penyokong pasukan Indonesia yang membaling batu dan botol ke arah pemain Malaysia yang sedang menuju ke bilik persalinan, selepas tamat perlawanan. - BERNAMA