Ini kerana masih tiada jaminan buat pemain-pemain berkenaan akan mendapat pelepasan da­ripada kelab dalam Liga Malaysia (Liga M) biarpun senarai 24 pemain telah dikeluarkan Rabu lalu.
Konflik dijangka berlaku selepas melihat kalendar Sukan Asia 2018 bakal bertembung dengan Piala Malaysia iaitu pada bulan yang sama.
Pemain tengah Pahang, Nor Azam Azih, 23, mengakui gembira dapat menyertai pasukan bimbingan Kim Swee bermain di Indonesia tetapi pada masa sama dia menye­rahkan perkara itu kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP).
“Sejujurnya memang saya gembira kerana terpilih bersama skuad kebangsaan ke Sukan Asia 2018, namun tarikh latihan pusat bertembung dengan jadual Piala Malaysia.
“Saya bimbang tidak dapat pelepasan (daripada) pihak pengurusan. Secara peribadi, kedua-dua komitmen ini sangat penting dan saya serahkan kepada pihak pengurusan untuk membuat keputusan.
“Saya juga merasakan adalah tidak adil jika saya menyertai pasukan lewat, memandangkan pemain-pemain lain sudah berlatih awal. Jika tidak berlatih bersama pasukan, mungkin saya berdepan kesukaran untuk mendapatkan rentak serta keserasian nanti,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan Kim Swee me­ngakui buntu dan me­nyifatkan persiapan pa­­­su­kannya terjejas se­le­pas tercetus khabar bahawa penganjur akan membuat undian semula.
Ia gara-gara Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Palestin ‘terlepas padang’ dalam majlis undian acara bola sepak Sukan Asia yang melibatkan 24 pasukan dalam enam kumpulan.
Dalam undian itu, Malaysia diundi bersama juara bertahan, Korea Selatan, Kyrgyzstan dan Bahrain dalam Kumpulan E.