ONG KIM SWEE (dua dari kanan) tetap mahu anak-anak buahnya menentang Arab Saudi dan China walaupun mungkin berdepan negara berkenaan dalam undian semula Sukan Asia 2018.
KUALA LUMPUR 20 Julai - Malaysia tidak akan menukar perancangan yang telah diatur sekali pun mungkin berdepan Arab Saudi atau China dalam undian semula acara bola sepak Sukan Asia 2018, kata Ketua Jurulatih skuad bawah 23 (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee.
Kim Swee bagaimanapun mengakui, beliau tidak pasti apakah Arab Saudi atau China tetap mahu meneruskan perlawanan persahabatan yang telah dijadualkan seandainya mereka diundi dalam satu kumpulan pada temasya 18 Ogos hingga 2 September itu.
“Saya akan mengikut perancangan yang telah dirangka sejak awal, namun terpulang kepada China dan Arab Saudi sama ada tetap mahu bertemu Malaysia atau sebaliknya,” kata Kim Swee.
Dalam majlis undian 5 Julai lalu, Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia 2018 (INASGOC) bersama Jawatankuasa Asia (OCA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) terlepas pandang penyertaan Palestin dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) hingga memaksa undian semula dilakukan.
Bagimanapun, undian yang sepatutnya diadakan hari ini ditangguhkan ke satu tarikh yang belum diputuskan, dan keadaan itu meresahkan Kim Swee dalam merencanakan persiapan pasukannya.
Malaysia sudahpun mengatur dua perlawanan persahabatan menentang China B-23 di Changzhou, China pada 2 Ogos, diikuti Arab Saudi B-23 di Kuala Lumpur pada 9 Ogos.
Anak-anak buah Kim Swee kemudian akan berlepas ke Indonesia pada 12 Ogos, sebelum dijadual turun dalam perlawanan pertama pada 14 Ogos.
Dalam undian asal, Malaysia diletak dalam Kumpulan E bersama Korea Selatan, Bahrain serta Republik Kyrgyz, begitu jika undian baharu dilakukan kedudukan itu mungkin akan berubah.
Selain berpotensi berdepan pencabar baharu apabila undian semula dilakukan, penambahan dua pasukan juga bakal menyaksikan perubahan format dalam acara bola sepak lelaki pada Sukan Asia kali ini kerana ia bakal melibatkan 26 buah pasukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan