Pelantikan ter­sebut men­­jadi­kan Stuart sebagai Setiausaha Agung FAM ke-10 dan adalah berdasarkan Artikel 61 Perenggan 1 dalam Statut FAM yang menyatakan bahawa jawatan itu hendaklah dilantik oleh pre­siden dan tugas­nya akan bermula hari ini.
Hamidin melihat Stuart sebagai calon terbaik untuk menggantikan kekosongan jawatan tersebut setelah beliau mempunyai pengalaman selama 10 tahun dalam bidang pe­ngurusan dan pentadbiran bersama organisasi tempatan dan antarabangsa termasuk dalam Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Konfede­rasi Bola Sepak Asia (AFC) dan FAM.
“Stuart dilihat sebagai calon paling sesuai untuk menjadi Setiausaha Agung FAM dan diyakini mampu membawa budaya korporat yang akan menjadi perubahan positif kepada FAM.
“Selaku Presiden FAM, saya amat berharap supaya beliau dapat menjalankan tugas dengan profesional dan penuh amanah demi memartabatkan bola sepak negara,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.
Karier Stuart, 41, bermula pada 2008 apabila dilantik oleh FIFA sebagai Professionalisation Consultant yang bertanggungjawab memberikan sokongan berterusan dan konsultansi kepada ahli-ahli gabungan FIFA dalam mewujudkan liga-liga baharu, mengemas kini pentadbiran persatuan negara serta menjadi perancang bagi program pendidikan pentadbiran FIFA (Futuro III).
Selepas empat tahun, beliau telah dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Super League (MSL) pada 2010 dan diberi mandat untuk merencanakan struktur FAM dan aspek-aspek komersial persatuan ter­sebut.
Pada 2012, Stuart menyertai AFC dengan memegang pelbagai jawatan termasuk Pengarah Kejohanan Kelab-Kelab AFC, Pengarah Pemasaran dan Pengarah Tanggungjawab Sosial.
Selepas berkhidmat di pelbagai tahap organisasi bola sepak, Stuart kemudian menjadi konsultan kepada Dentsu Sports dan IMG, dua agensi sukan terbesar di dunia pada 2014.
Di Dentsu Sports, Stuart kemudian mengambil alih jawatan Naib Presiden selama empat tahun sehingga 2018 dan mengetuai operasi agensi tersebut di Asia termasuk penajaan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, pengurusan Sukan Asia 2018 Indonesia dan perencanaan strategi Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Jawatan Setiausaha Ag­ung FAM tersebut dilepaskan Hamidin kelmarin selepas beliau menang tanpa bertanding menjadi Presiden FAM yang ketujuh pada Kongres FAM ke-54 dan pengganti mantan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang melepaskan jawatan ba­ginda pada Mac lalu.