Sebaliknya, Hamidin me­negaskan, beliau telah bersedia mengambil tanggungjawab terbesar dalam karier bola sepak­nya sejak berkecimpung dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) pada tahun 1995 dan memberi jaminan tidak dikawal oleh mana-mana pihak.
Semalam, Hamidin yang menang tanpa bertanding menjadi Presiden FAM yang ketujuh pada Kongres FAM ke-54 dan pengganti mantan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang melepaskan jawatan baginda pada Mac lalu.
Ada pemerhati menganggap pelantikan Hamidin yang menjadi rakyat biasa pertama menjadi Presiden FAM sejak Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, dikatakan hanya menjadi proksi atau boneka.
Bagaimanapun, Hamidin menepis dakwaan tersebut kerana beliau memiliki perancangan untuk membantu bola sepak negara tanpa menjadi proksi atau boneka kepada mana-mana pihak.
“Berdasarkan senario semasa, tugas berat menanti untuk penggal 2018-2021. Belum pun saya menduduki kerusi ini, cakap-cakap bernada sinis sudah kedengaran. Ada yang mendakwa saya sekadar presiden boneka. Ada tokoh lain (berkata) di sebalik tabir yang memegang tali dan saya sekadar mengikut rentak tarinya.
“Saya beri jaminan tidak akan mengikut telunjuk mana-mana pihak tetapi dengan izin Allah saya memohon diberi kekuatan berfikir dan bekerja demi FAM dan kepentingan bola sepak serta menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak,” katanya ketika berucap selepas dipilih menjadi Presiden FAM di Kongres FAM ke-54 di Hotel Hilton, Petaling Jaya semalam.
Semalam, Hamidin sah di­pilih sebagai Presiden FAM bagi penggal 2018-2021 selepas menang tanpa tanding pada Kongres FAM Ke-54.
Beliau menjadi Presiden FAM yang ketujuh sejak 1951 turut mencipta sejarah apabila menjadi individu pertama daripada kalangan orang biasa bergelar presiden selepas enam peneraju terdahulu merupakan Perdana Menteri, Menteri Kabinet serta Kerabat Diraja.
Dalam perkembangan sama, Hamidin yang mengakui belum mendapat ilham untuk melantik Setiausaha Agung FAM baharu tetapi akan diumumkan tempoh terdekat, menjelaskan tiga elemen penting akan diberikan keutamaan dengan tumpuan segera kepada proses reformasi.
“Tiga elemen penting ini adalah prestasi dan peningkatan pasukan kebangsaan serta program akar umbi termasuk yang membabitkan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Kementerian Pendidikan.
“Selain itu, matlamat kita adalah menjana sumber dan pembiayaan kewangan yang stabil serta kukuh untuk FAM demi melonjakkan bola sepak negara.
“Seandainya kita mengimpikan bola sepak ini mampu mendominasi pentas yang kita inginkan, saya menggesa supaya semua pihak memikul tanggungjawab dan peranan secara bersama sebagai satu pasukan,” ujarnya.