
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bakal ke Indonesia malam ini dan akan menggunakan kesempatan itu untuk berjumpa dengan kerajaan Indonesia berhubung isu keselamatan atlet negara yang bertanding di negara berkenaan.
“Saya dijadualkan ke Indonesia malam ini atas urusan kerja dan akan mengambil peluang itu untuk berjumpa dan berbincang dengan pihak mereka berhubung perkara ini.
“Perkara ini penting terutama kerana kontinjen Malaysia akan berada di Indonesia bagi menghadapi Sukan Asia ke-18 pada bulan Ogos nanti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas insiden kekecohan yang membabitkan penonton Indonesia ketika saingan separuh akhir Kejuaraan AFF 2018 Bawah 19 tahun yang menyaksikan Malaysia menewaskan Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 selepas aksi sebenar terikat 1-1 di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, semalam.
“Insiden ini berlaku susulan rasa tidak puas hati penonton dengan kekalahan pasukan mereka sehingga bertindak memprovokasi sejurus perlawanan tamat. Ini menyebabkan pasukan Malaysia lewat hampir satu jam untuk keluar dari stadium dan terpaksa diiringi pihak polis di sana,” katanya.
Syed Saddiq berkata Malaysia bagaimanapun menghargai usaha pihak berkuasa Indonesia yang tangkas dan cekap bagi mengawal keadaan serta melindungi pemain serta pegawai kedua-dua pasukan.
“Bagaimanapun, Malaysia juga melihat perkara ini sebagai sesuatu yang serius kerana soal keselamatan dan kesejahteraan atlet sentiasa menjadi keutamaan pada bila-bila dan di mana jua mereka berada.
“Buat masa ini, pihak Indonesia menjanjikan peningkatan kualiti keselamatan menjelang perlawanan akhir nanti dan tindakan akan diambil ke atas perbuatan dan pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Malaysia bakal berdepan dengan juara dua kali Myanmar (2003 dan 2005) pada final esok. Untuk rekod, pasukan B-19 negara tidak pernah merangkul gelaran juara selepas lima kali muncul naib juara pada 2003, 2005, 2006, 2007 dan 2017.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan