Malaysia diundi ke dalam Kumpulan E untuk pe­ringkat awal acara bola sepak lelaki temasya di Jakarta-Palembang itu dengan pada awalnya akan menentang Korea Selatan, Kyrgyzstan dan Bahrain.
Namun, hari ini undian ke atas baki dua pasukan peserta menyaksikan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dimasukkan ke dalam Kumpulan E. Turut menghadapi nasib serupa adalah Indonesia apabila Palestin dimasukkan ke dalam Kum­pulan A untuk bersaing dengan pasukan tuan rumah selain Hong Kong, Laos dan Taiwan.
Keputusan itu diperoleh hasil undian tambahan melibatkan dua pasukan ber­kenaan di Ibu Pejabat AFC, Bukit Jalil, hari ini.
Ini bermakna pa­sukan yang ber­ada dalam dua kumpulan ber­kenaan akan mengharungi satu perlawanan tambah­an berbanding pasukan dalam Kumpulan B, C, D dan F yang hanya diisi empat pasukan.
Mengulas keadaan baharu yang dihadapi, Kim Swee me­ngakui peluang untuk Malaysia layak ke pe­ringkat kalah mati semakin sempit.
“Sudah pasti laluan semakin sukar kerana Korea Selatan dan UAE adalah pasukan pilihan. Perlawanan pertama juga akan bermula 10 Ogos sekali gus menjadikan tempoh untuk mempersiapkan pasukan lebih singkat.
“Latihan pusat telah ditetapkan pada 30 Julai dan perlawan­an persahabatan dengan Arab Saudi pada 9 Ogos perlu dibatalkan. Perlawanan persahabatan de­ngan China akan tetap dite­ruskan pada 5 Ogos ini,” katanya.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI), Ratu Tisha Destria berkata, perkembangan terbaharu ini memaksa acara bola sepak dimu­lakan lebih awal iaitu 10 Ogos berbanding jadual asal 14 Ogos.
“Kita sekarang perlu memulakan acara bola sepak pada 10 Ogos bagi dua kumpulan ini.
“Segala keputusan berkenaan undian tambahan dan formatnya adalah daripada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Indonesia (INASGOC).
“Ini satu keadaan yang sukar buat Indonesia dan Malaysia, tetapi kita perlu menghadapinya,” katanya kepada wartawan selepas sesi undian.
Undian tambahan dilakukan kerana penyertaan Palestin dan UAE dikatakan tercicir ketika majlis undian pertama pada 5 Julai lalu walaupun sudah mengesahkan penyertaan sebelum tarikh tutup.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John menjelaskan masalah komunikasi kemungkinan berlaku yang menyebabkan dua pasukan berkenaan tercicir daripada undian pertama.
“Selepas undian pertama membabitkan 24 pasukan, terdapat bantahan daripada UAE dan Palestin apabila nama pasukan mereka tiada.
“Jadi, selepas penganjur meneliti semula, mereka mendapati menerima pengesahan daripada dua pasukan itu sebelum tarikh tutup. Jadi, kita tiada pilihan selain membuat undian sekali lagi,” jelasnya.