
BEKAS jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Mohamad Bakar.
KUALA LUMPUR: "Pasukan terkemuka dunia pun lepaskan pemain mereka untuk beraksi pada Piala Negara-Negara Afrika, (AFCON), jadi pasukan di sini juga seharusnya boleh berbuat demikian," kata bekas jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Mohamad Bakar.
Justeru, Mohanad Bakar yang juga bekas penolong jurulatih skuad Olimpik Moscow 1980 itu menegaskan pasukan Liga Malaysia (Liga M) seharusnya 'berkorban' dengan melepaskan pemain yang dipanggil untuk menyahut seruan pasukan kebangsaan.
Katanya, kepentingan nasional perlu diutamakan dan sewajarnya dilihat sebagai perkara yang lebih penting sekali gus membantu perancangan jurulatih untuk menghimpunkan pemain yang lebih mantap bagi mengharungi sesuatu kejohanan.
"Masalahnya disebabkan berlakunya pertembungan dengan saingan tempatan dan pertandingan Sukan Asia itu juga berlangsung di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), namun pasukan tidak seharusnya mementingkan diri sendiri.
"Jika pemain mereka dipilih untuk mewakili skuad kebangsaan, maka pasukan perlulah akur. Dalam apa jua keadaan sekalipun, keutamaan perlulah diberikan kepada skuad kebangsaan.
"Sedangkan pasukan terkemuka di luar negara boleh melepaskan pemain mereka mewakili negara masing-masing, jadi saya melihat pasukan di sini tidak seharusnya berdepan masalah untuk mengikut langkah sama," katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, skuad B-23 negara bakal berdepan 'malapetaka' dahsyat apabila berkemungkinan terpaksa menarik diri daripada menyertai temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang yang akan berlangsung bulan hadapan andai terus dibelengu kekusutan isu pelepasan pemain untuk kempen Piala Malaysia.
Situasi itu diakui jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee yang tidak menolak kemungkinan pemainnya perlu menarik diri daripada kejohanan terbabit jika beliau gagal untuk mengumpulkan pemain yang cukup untuk mengharungi kejohanan terbabit.
Malah, Kim Swee jelas tidak mempunyai perancangan lain sekiranya beberapa pasukan tetap berkeras enggan melepaskan pemain yang dipanggil berikutan aksi di Sukan Asia itu bertembung dengan aksi Piala Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan