TUNKU MAHKOTA JOHOR (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerima cenderahati daripada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin pada Kongress FAM ke-54 di sini, hari ini. - UTUSAN/Abdul Razak Latif
KUALA LUMPUR 14 Julai - Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan badan induk tersebut tidak dapat bekerjasama dengan baik bersama Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) hanya disebabkan beberapa individu.
Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berkata, ada individu daripada NFDP yang dilihat enggan berkolaborasi dengan Pengarah Teknikal, Peter de Roo apabila tidak banyak maklumat yang diterimanya daripada program tersebut.
“Sebelum ini Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak memainkan peranan dalam memastikan berlakunya kerjasama di antara FAM dan NFDP. Contohnya, FAM ada Pengarah Teknikal, Peter de Roo namun dia tidak dapat banyak akses maklumat atau kerjasama kerana ada individu dalam NFDP mahu bergerak sendiri.
“Jadi, kami hanya beri nasihat dan pandangan namun respon yang diterima pada waktu itu negatif. Niat FAM jelas iaitu mahu memperbaiki agenda bola sepak tanah air. Saya harap Presiden FAM baharu dapat memberi kerjasama dengan Menteri Belia dan Sukan (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) dan pastikan ada sikap menghormati antara satu sama lain dalam FAM dan NFDP,” katanya.
Tunku Ismail ditemui pemberita selepas Kongres FAM ke-54 yang menyaksikan Datuk Hamidin Mohd. Amin diiktiraf sebagai Presiden FAM yang baharu selepas memenangi kerusi No. 1 badan induk itu bagi baki penggal 2017-2021 tanpa bertanding.
Tunku Ismail berkata beliau sudah pun mengadakan perjumpaan bersama Syed Saddiq bagi menjelaskan masalah yang dihadapi di antara FAM dan NFDP.
Sementara itu, ketua pegawai eksekutif NFDP, Safirul Azli Abu Bakar tidak menafikan perkara tersebut apabila sebelum ini terdapatnya percanggahan di bahagian teknikal melihatkan kedua-dua pihak.
“Masalah tersebut melibatkan orang di bahagian teknikal dan itu bermaksud jurulatih. Apabila ada nak bawa kepala sendiri jadi pertembungan. Kalau itu yang dimaksudkan memang ada. Daripada segi pengurusan saya memang selalu berhubung dengan Datuk Hamidin dan FAM.
“Nak sebut nama tidak boleh sebab Tunku Ismail pun tidak beritahu mereka yang mempunyai masalah. Saya dengan Peter selalu berhubung,” katanya. - UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan