KUALA LUMPUR: Pengendali skuad bawah 23 tahun negara (B-23), Datuk Ong Kim Swee mengakui anak buahnya berdepan cabaran besar selepas diundi bersama juara bertahan, Korea Selatan pada aksi Sukan Asia Jakarta-Palembang, bulan depan.
Berdasarkan undian yang berlangsung di Jakarta hari ini, skuad B-23 turut diundi bersama Kyrgyzstan dan Bahrain untuk melengkapkan empat pasukan dalam Kumpulan E.
Menurut Kim Swee, tiga pasukan terbabit sudah tentu menjanjikan tentangan yang sengit kepada pemainnya namun peluang mereka di temasya terbabit tetap bergantung kepada barisan pemain yang dapat dihimpunkan untuk mengharungi temasya berkenaan.
"Tidak dinafikan ini adalah satu kumpulan yang cukup mencabar di mana kita diletakkan dengan juara bertahan serta pasukan Bahrain yang layak ke pusingan akhir Piala Asia tempoh hari dan Kyrgyzstan yang semakin bertambah baik di peringkat antarabangsa.
"Apapun, yang penting adalah kita harus fikirkan persiapan kita dan jika kita dapat kumpulkan pemain B-23 yang terbaik dan tiga pemain lebih umur, saya percaya kita mampu melangkah ke pusingan seterusnya.
"Jika sebaliknya, kita perlu berusaha dengan lebih gigih di mana sudah tentu semua pasukan khususnya Korea Selatan akan menurunkan barisan terbaik mereka pada Sukan Asia kali ini," katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, undian kali ini menyaksikan skuad B-23 sekali lagi diletakkan dalam satu kumpulan yang sama dengan Korea Selatan selepas kedua-dua pasukan turut diundi dalam Kumpulan A pada temasya yang berlangsung di Korea Selatan, empat tahun lalu.
Korea Selatan tampil dengan reputasi yang tinggi bertepatan dengan status mereka sebagai juara bertahan dan juga pemenang pingat emas sebanyak empat kali temasya terbabit.
Pencapaian terbaik skuad negara pula meraih gangsa pada edisi 1962 dan 1974 namun edisi empat tahun lalu menyaksikan Malaysia sekadar menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga ketiga di belakang Korea Selatan dan Arab Saudi.
Kyrgyzstan pula berjaya mara ke pusingan 16 terbaik pada edisi 2014 namun tewas di 2-0 di tangan Jordan sementara Bahrain gagal melayakkan diri pada Sukan Asia 2014.
Sebagai rekod, acara bola sepak Sukan Asia 2018 disertai 24 pasukan yang dibahagikan kepada enam kumpulan dengan juara dan naib juara kumpulan serta empat pasukan di tempat ketiga terbaik akan layak ke pusingan 16 terbaik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan