Tunku Ismail harap FAM pertimbang hasrat skuad Tok Gajah beraksi pada ACL
TUNKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengkaji semula hukuman yang dikenakan kepada Pahang sebelum ini supaya skuad Tok Gajah dapat mewakili negara pada pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan selepas menjuarai Piala FA, Sabtu lalu.
Sebelum ini, skuad bimbingan Dollah Salleh digantung dua tahun daripada memohon Lesen Kelab Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas Pahang menolak tawaran untuk mewakili Kedah pada kejohanan Piala AFC atas alasan mahu menumpukan perhatian kepada pertandingan domestik.
Tindakan tersebut menyebabkan Pahang melanggar Artikel 14 kerana ingkar arahan FAM, sekali gus menyaksikan wakil Pantai Timur tersebut tidak akan mewakili negara ke saingan ACL pada 2019 dan 2020.
Tunku Ismail yang juga bekas Presiden FAM berharap badan induk bola sepak negara mengkaji semula hukuman yang telah dikenakan itu supaya Pahang memperoleh semula tiket beraksi di pentas Asia tahun depan.
“Demi semangat kesukanan, saya mengharapkan FAM mengkaji semula hukuman yang telah dikenakan ke atas Pahang sebelum ini supaya mereka dapat kembali beraksi pada saingan ACL.
“Lazimnya, skuad Tok Gajah yang telah menjuarai Piala FA musim ini akan layak untuk mewakili negara ke pusingan kelayakan ACL tahun depan,” titah baginda menerusi laman sosial Facebook milik Johor Darul Ta’zim (JDT), Johor Southern Tigersmalam kelmarin.
Terdahulu, Dollah mendedahkan, beliau mempunyai keinginan yang tinggi untuk membawa Pahang beraksi di pentas tertinggi Asia musim depan berikutan skuad Tok Gajah memiliki kualiti terbaik untuk bertanding pada saingan tersebut.
“Bagi saya, ia satu kerugian jika kami tidak dapat beraksi pada saingan ACL tetapi kami terpaksa akur dengan segala keputusan yang telah ditetapkan FAM.
“Bagaimanapun, ia bergantung pada Tengku Muda Pahang yang merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah untuk membuat rayuan atau tidak dan segalanya kami serahkan kepada pihak pengurusan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan