PETALING JAYA: Jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe percaya Fiji yang lebih terkenal dengan sukan ragbi adalah pasukan yang tidak boleh diperlekehkan.
Dia mengingatkan anak buahnya supaya memberikan aksi terbaik pada perlawanan antarabangsa di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras Khamis ini selepas seri 1-1 dalam pertemuan terakhir pada 26 Jun 2016.
"Kita tahu Fiji popular dalam sukan ragbi tapi mereka dalam bola sepak sudah banyak peningkatan dan memiliki kelebihan dari segi fizikal. Kita mahu gunakan kesempatan ini untuk persediaan pasukan menghadapi Piala AFF hujung tahun ini," kata Cheng Hoe.
Seramai 24 pemain dipanggil pada kem latihan pusat kali ini selepas kali terakhir mereka berkumpul bagi aksi persahabatan menentang Bhutan pada 1 April lalu dengan keputusan 7-0 memihak kepada skuad kebangsaan.
Empat pemain baru dipanggil - Syahrul Azwari Ibrahim dari Melaka United, Shafiq Shaharudin (Kelantan), Kenny Pallraj (Perak) dan Syawal Nordin (Kedah) - bagi menggantikan N Thanabalan (Negeri Sembilan), Ahmad Hazwan Bakri, Aidil Zafuan Abd Radzak dan La'Vere Corbin-Ong (Johor Darul Ta'zim) yang digugurkan akibat kecederaan.
Bagaimanapun Cheng Hoe mengakui dia masih lagi dalam proses penilaian pemain sebelum memiliki skuad lengkap pada Oktober nanti.
"Kita ambil kesempatan untuk memanggil pemain yang tak beraksi dalam Piala FA, mungkin ramai lagi pemain yang boleh diserapkan dalam skuad kebangsaan dan saya jangkakan pada September dan Oktober nanti saya boleh mendapat pemain utama," katanya.
Malaysia yang kini berada di ranking ke-171 boleh memperbaiki kedudukan itu andai dapat menewaskan Fiji yang berada di tangga ke-165.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan