
Perkara yang paling memalukan adalah apabila bola sepak negara memberi reaksi terkejut setiap kali sesuatu situasi wujud. Situasi yang dimaksudkan, Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 di Indonesia bulan depan mencetus reaksi terkejut pihak tertentu.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terkejut temasya sukan ini sudah tiba!
Persatuan negeri dan kelab terkejut kerana temasya sukan ini akan berlangsung serentak dengan Piala Malaysia 2018.
Pasukan kejurulatihan pula terkejut apabila berhempas-pulas untuk mendapatkan secukup pemain untuk ke Indonesia.
Di sinilah rakyat diperbodohkan dengan kelakuan kurang matang dan kurang cekap pentadbiran bola sepak di negara kita.
Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 ditetapkan pada hujung Julai 2014. Empat tahun kemudian, pada Julai 2018, kita dapati pelbagai kekecohan. Sikap amatur pentadbiran bola sepak nyata menjejaskan pembangunan bola sepak. Dengan sikap amatur yang sudah menjadi darah daging pentadbiran bola sepak, mengapa tidak kita kembalikan bola sepak ke zaman amatur?
Bola sepak profesional jelas menghancurkan pembangunan serta kredibiliti sukan profesional ini. Apa guna visi dan misi sementara pentadbiran amatur? Sudah tidak perlu berlagak “terkejut” kerana kelemahan satu sistem.
Namun sikap amatur ini pula berleluasa dengan tindakan UAE dan Palestin yang sering tidak mempunyai perancangan. Jelas keinginan dan keengganan bertanding dua pasukan ini juga bermakna pentadbiran juga terlalu amatur.
Mengapakah badan induk bola sepak Asia atau AFC melayan tindakan UAE serta Palestin? Mengapa tidak AFC menasihati Majlis Olimpia Asia bahawa undian yang sudah dijalankan harus dikekalkan?
Ada pula tambahan cerita apabila Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Indonesia yang mengaku nama UAE serta Palestin “tercicir” daripada pasukan yang mengesahkan bertanding?
Ini bermakna, Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Indonesia pula yang paling amatur kerana tercicir akal. Mereka tidak pula dibantu Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia atau PSSI. Tidak sukar untuk membuat kesimpulan PSSI juga amatur!
Akhirnya, tidak boleh dinafikan ada sekelompok golongan amatur yang mengendalikan sukan di rantau Asia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan