SEPANG 15 Julai – Jurulatih Bojan Hodak mengingatkan semua pihak agar tidak meletakkan harapan terlalu tinggi kepada skuadnya meskipun mereka telah melakar sejarah dengan menjuarai Kejohanan AFF B-19 semalam.
Skuad Bojan telah pun melayakkan diri ke dalam persaingan peringkat benua iaitu Kejohanan AFC B-19 di Palembang itu pada 18 Oktober hingga 4 November ini. Kejayaan dalam Kejohanan AFF di Surabaya semalam sudah pasti menaikkan semangat skuad muda negara selain peminat sendiri.
Walau bagaimanapun, pengendali dari Croatia itu mengingatkan peminat bahawa Kejohanan AFC lebih kompetetif berbanding Kejohanan AFF, malah Malaysia yang diundi dalam Kumpulan D bersama Arab Saudi, Tajikistan dan China adalah pasukan yang berada di kedudukan paling rendah berbanding tiga pencabarnya dalam ranking antarabangsa.
Namun, jelasnya, menerusi kejayaan menjulang trofi Kejohanan AFF sekurang-kurangnya mampu menyuntik semangat dan keyakinan mereka.
Kejohanan itu juga, tegasnya, memberi peluang kepada pasukan untuk mengesan kekurangan yang ada sebagai persediaan menghadapi kejohanan itu.
“Anda tidak boleh menjangkakan terlalu tinggi dalam peringkat pertama, yang mana Malaysia pasukan paling rendah kedudukannya dalam ranking dunia di Kumpulan D.
“Walau bagaimanapun, kejayaan ini sudah pasti menaikkan motivasi untuk bersaing dalam Kejohanan AFC. Jadi kami akan cuba mengatasi jangkaan tersebut.
“Tidak seperti Indonesia, tekanan mereka lebih hebat selaku tuan rumah yang semestinya mahu menjadi juara. Mereka ada pemain hebat namun mereka perlu berdepan tekanan daripada media dan semua pihak.
“Kami bernasib baik kerana Malaysia tidak menerima tekanan sebegitu. Jadi kami akan bermula sebagai underdog,” kata Bojan ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini sekembali bersama pasukan dari Indonesia.
Skuad bimbingan Bojan mamahat sejarah apabila muncul juara Kejohanan AFF B-19 buat kali pertama selepas menumpaskan Myanmar 4-3 di Gelora Delta Sidoarjo, Surabaya, Indonesia hari ini.
Mengulas mengenai perlawanan akhir itu, Bojan berkata, sikap tenang pemainnya menjadi kunci kejayaan walaupun ketinggalan 3-2 pada satu ketika.
“Sewaktu rehat separuh masa, saya ingatkan pemain supaya bersabar, main secara tersusun, ikut perancangan yang sudah diatur dan yang paling penting jangan mudah panik.
“Kami jangka Myanmar akan keletihan kerana mereka banyak menggunakan pemain sama, berbanding Malaysia. Pada 20 minit terakhir kami bermain lebih tersusun dan mendominasi perlawanan,” ujarnya.
Nik Akif Syahiran Nik Mat muncul wira skuad negara apabila sepakan bebasnya dari sudut sukar menghasilkan gol kemenangan pada masa kecederaan. Video jaringan itu mendapat tontonan paling tinggi di media sosial.
Terdahulu, Muhamad Awang Faiz meletakkan Malaysia di depan seawal minit ketiga, sebelum Nik Akif Syahiran menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-19.
Namun Myanmar menjaringkan tiga gol berturut-turut sebelum rehat tetapi Malaysia menyamakan kedudukan 3-3 menerusi Shivan Asokan pada minit ke-76.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan