PETALING JAYA: Bahrain atau Arab Saudi bakal menjadi ujian terakhir buat skuad bawah 23 tahun negara (B-23) pada Ogos depan sebelum mereka berlepas ke Jakarta, Indonesia bagi saingan Sukan Asia.
Dua pasukan itu sudah menyatakan minat untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee namun keputusan terakhir bergantung kepada undian minggu ini.
"Bahrain dan Arab Saudi ingin bermain dengan kita di Kuala Lumpur tapi kita kena lihat di mana kedudukan kita di peringkat undian nanti," kata Kim Swee.
"Kita bercadang untuk mengadakan perlawanan persahabatan pada 8 atau 9 Ogos ini sebelum berlepas ke Jakarta di mana perlawanan pertama kita di Sukan Asia nanti mungkin pada 14 atau 15 Ogos."
Seramai 27 pemain dipanggil bagi sesi latihan singkat ini dengan dua pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) Dominic Tan dan Haziq Nadzli serta Adib Zainudin dan Hafiy Haikal Ismail (JDTII) hanya akan melaporkan diri esok kerana mempunyai program bersama kelab masing-masing.
Seorang lagi pemain JDT Syamer Kutty Abba tidak dapat turut serta kerana mengalami kecederaan.
Seorang pemain lebih umur Baddrol Bakhtiar dari Kedah manakala 17 pemain baru turut bersama pasukan dalam senarai 27 pemain berkenaan.
"Tak ada pengganti (Syamer), tak ada keperluaan kerana kita hanya berlatih enam hari sebelum bertemu FELDA United pada Jumaat bagi perlawanan persahabatan.
"17 pemain baru ini saya nak lihat persefahaman mereka dan mereka haris tahu apa yang kita akan lakukan secara taktikal," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan