Skuad bimbingan Kim Swee mungkin tidak beraksi ke Sukan Asia jika pemain tidak cukup
SKUAD B-23 Malaysia bimbingan Kim Swee mungkin tidak dapat beraksi pada Sukan Asia 2018 sekiranya pemain-pemain yang tersenarai terpaksa memberi komitmen kepada kelab atau pasukan masing-masing.
SKUAD B-23 Malaysia bimbingan Kim Swee mungkin menarik diri daripada beraksi ke Sukan Asia 2018 jika gagal mengumpul sekurang-kurangnya 18 pemain secara minimum
KIM SWEE berdepan kekangan untuk mengumpul pemain-pemain skuad remaja negara memandangkan mereka memiliki komitmen kepada kelab atau pasukan masing-masing untuk aksi Piala Malaysia.
IMPIAN rakyat Malaysia untuk menyaksikan skuad bola sepak kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) beraksi pada Sukan Asia 2018 mungkin tidak kesampaian sekiranya ketua jurulatih B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee gagal mengumpul sekurang-kurangnya 18 pemain secara minimum.
Justeru, Kim Swee mendedahkan, tindakan menarik diri daripada Sukan Asia dilihat langkah terbaik jika beliau gagal menyediakan skuad yang secukupnya untuk beraksi di Indonesia kelak.
“Jika kita tidak dapat mengumpul 18 pemain, bermakna kita harus menarik diri daripada acara bola sepak Sukan Asia.
“Saya faham, jadual Sukan Asia bertembung dengan kejohanan Piala Malaysia, namun saya berharap semua pasukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) memberi kerjasama (pelepasan pemain) kerana ini merupakan kepentingan buat negara dan saya sudah banyak kali mengutarakan perkara ini,” katanya semalam.
Semalam Kosmo! melaporkan, pemain tengah Pahang, Nor Azam Azih yang dipanggil dalam senarai 24 pemain ke kem latihan skuad B-23 pada 30 Julai ini, tidak dapat memberi jaminan untuk menyertai skuad bimbingan Kim Swee.
Ini kerana, Azam meletakkan keputusan itu kepada pihak pengurusan untuk memutuskannya selepas menyaksikan kalendar Sukan Asia berlangsung serentak dengan Piala Malaysia.
Ditanya sama ada beliau memiliki perancangan lain jika pasukan-pasukan Liga M enggan melepaskan pemain mereka susulan komitmen aksi Piala Malaysia, Kim Swee mengakui benar-benar risau terhadap situasi tersebut.
Difahamkan, pasukan-pasukan Liga M memiliki pendirian untuk tidak melepaskan pemain-pemain mereka memandangkan kejohanan acara bola sepak Sukan Asia 2018 Indonesia berada di luar kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Sementara itu, Kim Swee menegaskan, beliau akan meneruskan rancangan untuk mengadakan aksi persahabatan menentang China meskipun kedua-dua pasukan tersebut bakal ditempatkan dalam satu kumpulan pada Sukan Asia apabila undian dilakukan semula nanti.



Tiada ulasan:
Catat Ulasan