
BEKAS jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan (kiri) dan Datuk Hamidin Mohd Amin. - Foto NSTP
KUALA LUMPUR: Datuk Hamidin Mohd Amin berpeluang cerah untuk tampil sebagai pemenang jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada pemilihan 14 Julai depan sekalipun berdepan Tan Sri Annuar Musa.
Keyakinan itu dilahirkan oleh bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berdasarkan 'X-Factor' dimiliki Hamidin berbanding lawannya yang dilihat terbeban dengan kontroversi.
Wan Jamak berkata, kedudukan Hamidin sebagai Setiausaha Agung FAM sejak 2013 menjadi aset utama yang memberi kelebihan kepadanya.
"Sebagai Setiausaha Agung, Datuk Midin sudah masak dengan pentadbiran organisasi seperti FAM. Ia sangat penting bagi memastikan pembaharuan yang diusahakan oleh TMJ (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) selama setahun menjadi presiden dapat diteruskan dengan lancar.
"Lagipun sebagai orang yang sudah lama terbabit dengan FAM, beliau mempunyai rangkaian hubungan bukan saja dengan ahli gabungan malah dengan persatuan serantau termasuk AFC (Konfederasi Bolasepak Asia).
"Beliau juga sentiasa berada di lapangan, mempunyai hubungan baik dengan penaja, penganjur liga (Liga Bolasepak Malaysia), kelab, jurulatih malah pemain. Saya boleh katakan Datuk Midin mempunyai 'X-Factor' dan pakej lengkap untuk menerajui FAM," jelas Wan Jamak.
Semalam, Annuar mengesahkan beliau akan mencabar Hamidin sekali gus menyaksikan pertembungan dua penjuru selepas Datuk Seri Azim Zabidi menolak pencalonan untuk jawatan berkenaan.
Mengenai Annuar, Wan Jamak menganggap tokoh politik itu tidak mempunyai aura untuk memimpin badan induk itu sekalipun pernah menerajui Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dan menjadi pemimpin nombor dua FAM.
Malah, bekas jurulatih itu menganggap kontroversi yang melingkari Annuar bakal menjadi liabiliti kepada FAM jika beliau dipilih sebagai pemimpin.
"Isu MARA (Majlis Amanah Rakyat) antara yang terpaksa dihadapi Tan Sri Annuar. Walaupun ia tidak kena mengena dengan bola sepak namun ia akan memberi kesan ke atas FAM jika beliau jadi presiden kelak.
"Kegagalan beliau mentadbir KAFA hingga dibebani dengan pelbagai hutang juga satu faktor yang tidak memihak kepada Tan Sri Annuar.
Bagaimana hendak memimpin FAM kalau persatuan negeri pun tidak mampu diurus. Tapi kita tidak tahu apa pula pemikiran ahli gabungan pada hari pemilihan, mungkin pada saat akhir boleh membuat kejutan," katanya.
Bagaimanapun Wan Jamak berharap, siapa pun yang akan dipilih, tokoh itu mampu membawa perubahan kepada bola sepak negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan