THANABALAN teruja selepas mendapat panggilan untuk menyertai skuad Harimau Malaya menjelang pertemuan menentang Fiji di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, 5 Julai depan.
|
Thanabalan bukan nama asing buat peminat-peminat tempatan apabila bekas pemain FC Felcra itu memiliki sentuhan tajam di depan pintu gawang ketika mewakili pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan AFC B-23.
Kini, penyudah Thanabalan dituntut ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang sudah pasti mahu pemain berusia 23 tahun itu mengulangi prestasi hebat sama seperti dia bermain dengan skuad B-23.
Tanpa berselindung, Thanabalan mengakui berdebar selepas diberikan peluang untuk mewakili skuad Harimau Malaya buat kali pertama tetapi dalam masa yang sama dia bersemangat memberikan input positif kepada pasukan kebangsaan.
“Saya terkejut. Saya mendapat surat serta panggilan menyertai Harimau Malaya pagi tadi (semalam) dan ini kali pertama saya dipanggil ke kem latihan pasukan kebangsaan senior.
“Sudah pasti ini adalah satu peluang yang baik untuk saya tunjukkan kepada jurulatih. Kita tahu ini (panggilan pemain) adalah untuk aksi bertemu Fiji sahaja tetapi jika saya mendapat peluang bermain perlawanan seterusnya, saya mahu memberikan yang terbaik.
“Bertemu dengan Fiji, secara peribadi saya tidak pernah bermain dengan mereka tetapi mungkin pengalaman saya bermain bertemu Iran, Jordan atau Arab Saudi masing-masing memiliki fizikal besar akan memberikan sedikit kelebihan kepada saya dari segi pengalaman,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Tujuh pemain bagaimanapun tidak dipanggil untuk aksi bertemu Fiji kerana terlibat dengan perlawanan separuh akhir kedua Piala FA 2018 pada 30 Jun (PKNS FC lwn Selangor) dan 1 Julai (PKNP FC lwn Pahang) serta kemungkinan mara ke final Piala FA 2018 pada 7 Julai.
Antara yang terlibat ialah tiga pemain PKNS FC, Shahril Sa’ari (penjaga gol), Mahalli Jasuli dan Jafri Firdaus Chew; dua pemain Pahang iaitu Matthew Davies dan R. Kogileswaran serta pemain PKNP FC, Shahrel Fikri Md Fauzi dan pemain Selangor, Syahmi Safari.
Pemain muda, Akhyar Rashid, 19, dari Kedah pula tidak dipanggil kerana bersama skuad B-19 kebangsaan kendalian Bojan Hodak ke Kejuaraan B-19 Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2018 di Surabaya, Indonesia bermula 3 Julai ini.
Sementara empat lagi pemain telah digugurkan daripada panggilan kali ini iaitu dua pemain Kedah, Ariff Farhan Md. Isa dan Syawal Nordin serta dua pemain Perak, Nor Hakim Hassan dan Syazwan Zaipol Bahari.
Sebagai ganti bagi melengkapkan senarai 24 pemain, Cheng Hoe memanggil lapan pemain baharu yang tidak disenaraikan Mac lalu iaitu tiga pemain Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim (penjaga gol), Syazwan Zainon dan Rizal Ghazali; dua pemain Perak, Nasir Basharudin dan Amirul Azhan Aznan serta Aidil Zafuan Abd. Radzak (JDT), Thanabalan (Negeri Sembilan) dan Danial Ashraf Abdullah (Kelantan).
Baki lima lagi pemain yang dipanggil terdiri daripada mereka yang sebelum ini disenaraikan bagi perlawanan persahabatan antarabangsa ‘A’ bertemu Mongolia pada 22 Mac 2018 iaitu empat pemain JDT, Ahmad Hazwan Bakri, Safawi Rasid, Adam Nor Azlin dan La’vere Corbin-Ong serta pemain Sabah, Rawilson Batuil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan