
PEMAIN B-19 negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak (kiri) bersama peserta cilik pada program Akarumbi FAM Mini Piala Dunia anjuran Kidzania Sports. - Foto Rohanis Shukri
PETALING JAYA: Pengalaman ketika muncul naib juara tahun lalu menjadi bekalan paling ampuh buat skuad Bawah 19 tahun (B-19) negara dalam menghadapi saingan tahun ini.
Bagaimanapun, tiada jalan mudah buat skuad kendalian Bojan Hodak itu kerana pencabar lain turut memiliki kekuatan dan pastinya bermati-matian menyekat hasrat Malaysia.
Penyerang, Hadi Fayyadh Abdul Razak berkata, semua rakan-rakannya sedar dengan prestasi pasukan lain yang semakin baik dan faktor itu secara tidak langsung mengukuhkan lagi keazaman mereka untuk bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.
"Selain Thailand, Indonesia dan Vietnam juga kuat. Itu cabaran untuk kami dalam misi muncul juara. Peluang untuk juara tetap ada tetapi kami memilih untuk fokus satu demi satu perlawanan terlebih dulu.
"Kita jangkakan mereka akan tampil lebih baik dan secara tidak langsung ia akan jadikan kita lebih bersedia. Apa yang berlaku tahun lalu jadi pengajaran buat kami.
"Jadi saya harap dengan persiapan yang kita lakukan kali ini, akan beri keputusan lebih baik berbanding tahun lalu," katanya ketika ditemui pada KidZania SportZ 2018, hari ini.
Hadi hadir bersama pemain futsal wanita negara, Intan Sarah Anisah Zulgafli selaku Duta Akar Umbi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Turut serta, seorang lagi pemain B-19 negara, Shivan Pillay dan rakan sepasukan Intan, Hanis Farhana Shamsul Azizan.
Program itu akan berlangsung mulai 9 Jun hingga 8 Julai dan dianjurkan bersempena temasya Piala Dunia di Russia.
"Secara tidak langsung kita mahu didik kanak-kanak turut serta dalam aktiviti sihat. Kami gembira apabila FAM turut serta kerana kami perlukan individu terkenal untuk tarik minat kanak-kanak," kata Ketua Pembangunan Komersial KidZania, Nathalie Seroux.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan