
KEMENANGAN percuma diharapkan calon Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin tampak samar selepas Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi memberi bayangan sedia merebut jawatan tertinggi badan induk bola sepak negara itu.
Menurut Azim yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sepatutnya beliau menyerahkan borang pengesahan pencalonan minggu lalu tetapi terpaksa menangguh hajat berkenaan gara-gara sibuk dengan Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sukan Asia yang berakhir hari ini.
“Tarikh tutupnya pada 14 Jun ini. Hari ini baharu 6 Jun bermakna masih ada baki lapan hari untuk saya.
“Sepatutnya saya sudah serahkan borang ini minggu lalu tetapi oleh kerana sibuk dengan mesyuarat di MOM yang sedang berjalan hingga ke hari ini, mungkin saya terlepas pandang mengenainya,” katanya.
Andai benar, ia adalah kali pertama Azim akan bertanding bagi kerusi Presiden FAM, bagaimanapun peluangnya untuk memenangi pertandingan itu tampak sukar.
Ini kerana Hamidin mendapat pencalonan daripada 18 ahli gabungan berbeza dengan Azim yang dicalonkan saat akhir oleh Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP).
Namun, wujud kemungkinan untuk Azim ‘mencuri’ sokongan apabila beliau mengesahkan sudah menemui beberapa persatuan negeri.
“Ya, saya mungkin bertanding, tetapi segala-galanya boleh berlaku, apatah lagi saya masih mempunyai tempoh seminggu untuk membuat keputusan bertanding atau tidak.
“Saya sudah ditemui beberapa persatuan bola sepak negeri yang menyatakan sokongan mereka.
“Tetapi ia bukan mengenai sokongan semata-mata, saya juga perlu lihat sama ada boleh membawa transformasi atau tingkatkan prestasi FAM itu sendiri,” katanya.
Kerusi panas itu kembali menjadi rebutan susulan peletakan jawatan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang diterima Exco FAM pada 2 April lalu, setahun selepas beliau memegang tampuk kepemimpinan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan