Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Jumaat, 29 Jun 2018

Hamidin sedia pikul amanah penyokong

SEPANG: Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM),  Datuk Hamidin Mohd Amin menyatakan sudah bersedia untuk menerajui badan induk itu meskipun mengakui ia tugas yang sangat berat.
Hamidin yang diisytiharkan menang tanpa bertanding dan akan dilantik secara rasmi sebagai Presiden FAM pada Kongres Tahunan ke-54 pada 14 Julai ini berkata, FAM hanya akan bergerak ke depan andai semua pihak boleh memberikan sokongan.
“Ini adalah amanah penyokong bola sepak negara, amanah rakyat, ini tugas yang berat tetapi presiden seorang saja tak akan bawa bola sepak ke mana tetapi kita perlu sokongan daripada kerajaan, daripada semua pihak termasuk media,” kata Hamidin sebaik tiba di tanah air dari Moscow, Russia.
“Untuk melonjakkan lagi bola sepak negara, kita juga mengalu-alukan sebarang kritikan membina untuk penambahbaikan bersama.”
Hamidin, bekas Naib Presiden FAM dan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menang tanpa bertanding jawatan Presiden FAM selepas pencabarnya, bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi Insititut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi membuat keputusan menarik diri.
“Calon ada hak untuk bertanding atau menarik diri dan Tan Sri Annuar sudah membuat keputusan menarik diri. Pada saya, kita perlu menghormati keputusan beliau,” katanya.
Kemenangan Hamidin sudah dijangka memandangkan beliau meraih sokongan padu 18 daripada 20 ahli gabungan serta mendapat restu bekas Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Menurutnya, belum masanya untuk beliau mendedahkan visi dan misi bagi memantapkan FAM serta bola sepak tanah air namun segala perancangan kini sudah berada dalam fikirannya.
“Saya tak suka berjanji tapi saya akan cuba buat yang terbaik untuk bola sepak negara. Saya akan umumkan segala perancangan bersama Exco pada mesyuarat nanti,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan