
DATUK Yusoff Mahadi menegaskan pengguguran skuad B-23 daripada 'status elit' seharusnya dijadikan cabaran. - Foto Eizairi Shamsudin
KUALA LUMPUR: Pengguguran skuad bawah 23 tahun negara (B-23) daripada 'status elit' seharusnya dijadikan cabaran oleh barisan pemain muda negara bagi memberikan persembahan yang lebih memukau pada temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang.
Enggan melatah apabila terpaksa bersaing di temasya terbabit menerusi kategori B, Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi menegaskan situasi itu perlu dilihat daripada aspek yang positif dan tidak menjadi alasan untuk mereka tidak memperagakan aksi yang terbaik.
"Tidak timbul isu sama ada tidak puas hati dengan keputusan yang diambil oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM), jadi saya kira inilah masanya untuk barisan pemain kita membuktikan bahawa keputusan MOM adalah tidak tepat.
"Sudah tentu pemain perlu berusaha lebih keras bagi menunjukkan betapa mereka sebenarnya layak untuk membarisi kategori A. Saya lihat cabaran ini akan menjadi pembakar semangat dam motivasi yang besar buat skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu untuk cuba mencipta kejutan.
"Dengan kombinasi beberapa pemain muda daripada skuad B-23 dan juga Bawah 21 (B-21) selain turut dibantu tiga pemain senior, saya optimis dengan kemampuan skuad pada edisi kali ini dan saya yakin mereka akan menunjukkan kesungguhan pada Sukan Asia Jakarta-Palembang itu nanti," katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, NSTP melaporkan MOM menyenaraikan skuad B-23 negara dalam kategori B ke temasya berprestij itu yang akan berlangsung Ogos ini selepas mereka meletakkan syarat skuad negara perlu berada pada kedudukan ranking empat terbaik untuk layak dalam kategori A.
Meskipun pada awalnya berpeluang untuk disenaraikan dalam kategori utama selepas mencapai kejayaan mara ke suku akhir Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23, pada Januari lalu, namun kesukaran meraih pingat menyaksikan FAM perlu menanggung perbelanjaan sendiri untuk beraksi di saingan terbabit.
"Daripada pertemuan kita dengan wakil FAM hari ini, kita berpandangan adalah sukar untuk mereka meraih pingat Sukan Asia." kata Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib.
"Keputusan untuk memperketatkan syarat ini dibuat supaya kita lebih konservatif dan bukan sewenang-wenangnya menghantar atlet ke Sukan Asia," katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Terakhir ke Sukan Asia Indonesia di Wisma MOM, semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan