KETUA Pegawai
Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam. - Foto Hairul Anuar Rahim
KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menegaskan tidak
adil untuk membuat penilaian terhadap impak pemain kuota Asia Tenggara (ASEAN)
dalam Liga Super, apatah lagi ia baru diperkenalkan musim ini.
Malah, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam
mempersoalkan bentuk penilaian yang dibuat terhadap impak pemain terbabit
sedangkan kebanyakan mereka membarisi kesebelasan utama dan menjadi tonggak
pasukan masing-masing.
Menurutnya, kehadiran mereka juga sudah memberi petunjuk positif
terhadap nilai Liga Super selepas berjaya menarik minat penonton di rantau ini
untuk menyaksikan perlawanan.
"Saya hairan daripada aspek manakah penilaian dilakukan
oleh beberapa individu yang mengatakan kuota import ASEAN tidak memberi kesan
kepada perkembangan Liga Super?
"Sebenarnya, tujuan utama kita memperkenalkan kuota itu
adalah untuk meningkatkan nilai komersil dan pemasaran Liga Super dengan
harapan mampu menarik minat penyokong ASEAN menyaksikannya.
"Secara dasarnya, kehadiran mereka sememangnya membantu apa
yang ingin kita sasarkan berdasarkan jumlah tontonan dan pandangan penyokong
dari luar yang menyaksikan aksi bola sepak di negara ini," katanya ketika
dihubungi hari ini.
Justeru, Kevin memberi bayangan MFL tidak akan tunduk kepada
desakan mana-mana pihak dan menjelaskan kuota import ASEAN itu akan tetap
diteruskan pada musim akan datang.
"Apapun, kita perlu memberi ruang yang secukupnya terhadap
pelaksanaan kuota import ASEAN ini kerana ia perkara baharu. Justeru, saya
berpendapat ia akan diteruskan.
"Sekiranya mahu kajian dilakukan, mungkin selepas ia
dijalankan sekurang-kurangnya selama tiga tahun bagi menilai semula
keberkesanannya," katanya.
Terdahulu, Sukan NSTP melaporkan badan pengendali liga itu
diminta mengkaji semula kuota import itu kerana ia dilihat tidak meninggalkan
impak positif, sebaliknya sekadar menjadi 'nasi tambah' kepada Liga Super.
Malah, beberapa bekas pemain negara menganggap kehadiran mereka
hanya membazirkan wang pasukan serta menutup peluang pemain tempatan beraksi.
Legenda bola sepak negara, Datuk Shukor Salleh berkata, selepas
setengah musim Liga Super 2018 berlangsung, beliau belum melihat hasil positif
daripada kewujudan kuota itu yang mula diperkenalkan musim ini.
Malah, bekas pertahanan kebangsaan dan Pahang, Datuk Jamal Nasir
Ismail turut senada dengan Shukor sambil menganggap kuota empat import seperti
sebelum ini sudah memadai untuk setiap pasukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan