BEKAS pemain
kebangsaan Serbegeth Singh anggap skuad Harimau Malaya bukan pasukan pilihan
untuk menjuarai Piala AFF. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Bekas pemain
kebangsaan Serbegeth Singh menganggap skuad Harimau Malaya bukan pasukan
pilihan untuk menjuarai Piala AFF biarpun laluan awal mereka agak mudah
berdasarkan keputusan undian semalam.
Malaysia diundi bersama
juara 2008 Vietnam, Myanmar, Kemboja dan Laos dalam Kumpulan A manakala juara
bertahan Thailand, Indonesia, Filipina, Singapura dan sama ada Brunei atau
Timor Leste dari pusingan kelayakan akan berentap dalam kumpulan maut, Kumpulan
B.
Biarpun tuah undian dilihat
memihak kepada skuad kendalian Tan Cheng Hoe, Serbegeth atau turut dikenali
sebagai Shebbie menganggap ia bukan jaminan buat Harimau Malaya melepasi
peringkat awal selepas prestasi buruk 12 perlawanan tanpa kemenangan sebelum
menang 7-0 ke atas Bhutan pada aksi persahabatan, 1 April lalu.
"Kalau dilihat dalam
saingan Kumpulan A, jelas Vietnam adalah pasukan pilihan manakala Myanmar dan
Kemboja adalah pasukan yang sedang membangun jadi anda jangkakan prestasi
mereka berada pada satu tahap lebih baik kali ini. Situasi sekarang, kita bukan
lagi pasukan pilihan, bukan lagi pasukan kuat di rantau Asia Tenggara.
"Tapi kita boleh
gunakan situasi itu untuk melakukan kejutan ke atas pasukan lain untuk mara ke
separuh akhir," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Pada edisi terakhir dua
tahun lalu di Yangon, Myanmar, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee gagal
melepasi halangan awal selepas menang 3-2 ke atas Kemboja namun tumpas 0-1
kepada Vietnam dan Myanmar.
Menurut Serbegeth yang
kerap diundang sebagai pengulas bola sepak di stesen televisyen antarabangsa,
kejohanan edisi ke-12 itu adalah gelanggang untuk Cheng Hoe membuat permulaan
baru selepas huru-hara yang berlaku dalam kem negara beberapa tahun
kebelakangan ini.
"Saya harap Tan Cheng
Hoe akan gunakan peluang ini untuk membina pasukan baru kerana apa yang paling
penting adalah kestabilan. Dua, tiga tahun lalu banyak huru-hara berlaku,
jurulatih bertukar, ada pemain bersara, ada yang dipanggil balik secara
mengejut, jadi kita mahukan kestabilan kali ini.
"Tak boleh lagi keluar
14 pemain, masuk dua pemain kerana kita perlu ada pemain yang menjadi teras
pasukan," katanya.
Kempen skuad negara akan
bermula dengan menentang Kemboja di Phnom Penh pada 8 November, sebelum melayan
kunjungan Laos di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 12 November, bertemu
Vietnam di Hanoi (16 November) dan Myanmar di Bukit Jalil (24 November).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan