
KUALA LUMPUR: Dua wakil Malaysia ke Projek Sosial Kanak-Kanak Antarabangsa 'Football For Friendship' (F4F) 2018 di Moscow, Russia bulan depan terus mendapat pendedahan berguna daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Terbaru, Imran Zakaria, 16, yang bakal memikul tugas sebagai jurulatih muda dan dan Lauren Hoh, 12, pula berperanan sebagai wartawan muda pada program F4F itu menjalani latihan persediaan di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.
Lebih menarik, Imran mendapat tunjuk ajar daripada dua individu penting dalam FAM - Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo dan Ketua Unit Pendidikan Jurulatih FAM, David Abela.
"Lauren pula yang akan menjadi 'wartawan muda' diberi latihan kewartawanan oleh Exco FAM, Christopher Raj yang juga Pengerusi Jawatankuasa Media dan Perhubungan Awam FAM.
"Turut diadakan, latihan dan perlawanan simulasi membabitkan pemain berusia 12 tahun yang dijemput khas bagi memberikan pengalaman kejurulatihan kepada Imran," kata FAM dalam satu kenyataan hari ini.
Imran dan Lauren akan terbang ke Moscow pada 8 Jun ini dan akan menjalani program berkenaan selama seminggu.
Pelbagai program sudah dilaksanakan FAM buat Imran dan Lauren termasuk mereka diberikan peluang mengikuti sesi latihan skuad bawah 19 (B-19) tahun yang dikendalikan Bojan Hodak, Khamis lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan