SEMUA ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)
diingatkan tidak memilih calon presiden untuk ‘diuji’ kerana badan induk
berkenaan sangat memerlukan individu yang sudah pakar dalam bola sepak.
Perkara itu diluahkan bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar
sambil mengharapkan ahli gabungan tidak membabitkan agenda politik dalam
pemilihan jawatan nombor satu badan induk itu pada 14 Julai depan.
Azlan menganggap ahli gabungan memahami apa yang dimaksudkannya
iaitu Datuk Hamidin Mohd Amin calon paling layak untuk berada di kerusi
berkenaan berbanding dua calon lain, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dan Tan
Sri Annuar Musa.
Malah, beliau berkata, pemilihan Hamidin juga bakal memenuhi
hasrat peminat yang mahukan presiden yang bukan dalam kalangan orang politik
dan mampu memberi tumpuan sepenuh masa kepada badan induk berkenaan.
“Semua yang peminat harapkan ada pada Hamidin. Kalau kita suruh
tidur di FAM pun beliau boleh buat. Malah, beliau bermula dari bawah lagi,
semua pasal bola beliau tahu dan kita tidak boleh tipu beliau.
“Ahli gabungan janganlah wujudkan politik dalam pemilihan,
mereka pun sedar siapa yang layak. Bola sepak negara ketika ini tiada masa lagi
untuk mencuba, jadi Hamidin individu yang tidak perlu dicuba, beliau boleh
terus jalankan tugas.
“Saya tidak mempertikai kewibawaan Datuk Seri Azim. Tapi beliau
memikul tugas sebagai Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN) dan Timbalan
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), mungkin beliau boleh bahagikan masa,
tapi adakah masa yang dibahagikan itu mencukupi untuk semua tanggungjawabnya.
“Tan Sri Annuar pula baru saja dipilih sebagai ahli parlimen dan
saya rasa lebih baik beliau tumpukan kepada politik dulu, tunaikan harapan yang
diberikan rakyat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ketiga-tiga calon itu mempunyai tempoh sehingga 14 Jun ini untuk
membuat keputusan sama ada menerima atau menolak pencalonan mereka untuk
merebut jawatan presiden FAM.
Biarpun tampak memiliki kelebihan, Hamidin bagaimanapun tidak
terlepas daripada penilaian awal beberapa pihak yang menyifatkan beliau gagal
membawa kemajuan kepada bola sepak negara selepas berperanan sebagai setiausaha
agung sejak 2013.
Mengulas mengenai perkara itu, Azlan tidak bersetuju jika
kemampuan sebenar Hamidin hanya dinilai berdasarkan peranannya sebagai
setiausaha agung.
“Harus
diingat setiausaha agung hanya boleh bagi pandangan dan tidak boleh buat
keputusan. Ia jelas berbeza jika beliau menjadi presiden di mana beliau
mempunyai kuasa untuk memberi idea dan membuat keputusan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan