
KURANG tempoh bermain bersama pasukan dan kelab masing-masing mencetuskan kebimbangan kepada jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe mengenai prestasi beberapa pemain yang kini berada dalam perancangannya untuk mengharungi misi Piala AFF 2018 pada November ini.
Bagaimanapun beliau yang masih terbuka dalam pemilihan, berharap pemain tempatan terus meningkatkan usaha dan memberikan aksi terbaik bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama.
“Barisan kejurulatihan sudah memantau prestasi pemain dalam banyak perlawanan dan kita lihat memang ada peningkatan. Cuma apa yang merisaukan apabila ada pemain yang tidak dapat bermain.
“Tapi kita masih ada masa untuk pantau pemain ini dan kita berharap mereka dapat meningkatkan prestasi masing-masing. Pemain yang kurang bermain ini harus terus berlatih bersungguh-sungguh bagi meyakinkan jurulatih mereka,” kata Cheng Hoe.
Saingan untuk pemain tempatan merebut tempat dalam skuad utama semakin mencabar musim ini apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membenarkan penambahan kuota kepada lima pemain import berbanding empat pemain musim lalu.
Malah pasukan negeri dan kelab sanggup berbelanja besar untuk menukar pemain import yang tidak beraksi dengan baik pada tempoh perpindahan pemain kedua bulan ini.
Cheng Hoe sedang merangka persiapan terbaik buat Harimau Malaya yang bakal berdepan Vietnam, Myanmar, Kemboja dan Laos dalam saingan Kumpulan A pada kempen Piala AFF.
Saingan Kumpulan B pula membabitkan juara bertahan Thailand, Indonesia, Filipina, Singapura dan pemenang pusingan kelayakan antara Brunei dan Timor Leste.
Cheng Hoe yang mengambil alih tugas Nelo Vingada hujung tahun lalu, berkata beberapa siri aksi persahabatan antarabangsa sedang diatur bagi persiapan anak buahnya.
“Kita bercadang mengadakan latihan pusat dan perlawanan persahabatan pada bulan depan. Ia hanya membabitkan pemain yang tidak terbabit dalam final Piala FA. Selepas itu kita ada masa dalam kalendar FIFA pada September dan Oktober bagi latihan seterusnya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan