KUALA LUMPUR: Persaingan tiga penjuru bagi merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebenarnya masih belum pasti selepas Tan Sri Annuar Musa mengesahkan belum membuat pendirian untuk bertanding atau menarik diri.
Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) itu berkata, beliau masih memerlukan masa untuk membuat keputusan sebelum mengesahkan pencalonan itu pada 14 Jun bagi bertanding pada Kongres Tahunan FAM ke-54, sebulan kemudian.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada KLFA (Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur) kerana memberikan kepercayaan dengan mencalonkan saya bertanding untuk jawatan Presiden FAM.
"Saya sendiri akui masih terkejut tetapi buat masa ini, saya mahu pertimbangkan dahulu dan masih belum membuat keputusan," kata Annuar.
Nama Annuar sekali lagi berada dalam senarai untuk bertanding jawatan Presiden FAM apabila mendapat pencalonan daripada KLFA sebelum tempoh pencalonan berakhir semalam selepas Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) cuba menongkah arus dengan memberi sokongan kepada Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.
Calon pilihan, Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin awal lagi sudah mendapat pencalonan 18 ahli gabungan sebaik pencalonan dibuka selepas Exco FAM menerima peletakan jawatan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada 2 April lalu.
Bagaimanapun kesemua calon perlu membuat pengesahan sebelum atau pada 14 Jun dan sekiranya hanya seorang calon yang bertanding maka tiada undian pemilihan akan diadakan pada kongres itu nanti.
Pada pemilihan jawatan Presiden FAM pada 25 Mac tahun lalu, Annuar turut mendapat pencalonan untuk bertanding namun menarik diri pada saat akhir untuk memberi laluan kepada Tunku Ismail.
Annuar, bekas Timbalan Presiden FAM berkata, beberapa perkara perlu dipertimbangkan sebelum membuat keputusan apatah lagi dengan kesibukannya selepas memenangi kerusi Parlimen Ketereh pada Pilihan Raya Umum ke-14, Rabu lalu.
"Banyak perkara saya perlu lihat selepas PRU ke-14 baru selesai. Saya juga ada komitmen dan seperti dikatakan tadi, perlu fikir dahulu. Sama ada bertanding atau sebaliknya, jawapan itu hanya bakal diperoleh selepas saya kembali daripada berehat beberapa hari," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan