PEMAIN Kedah, Akhyar
Rashid (kanan) tetap berada dalam perancangan pengendali skuad B-19 negara,
Bojan Hodak. - Foto Sharul Hafiz Zam
KUALA LUMPUR: Pengendali
skuad bawah 19 tahun (B-19) negara, Bojan Hodak menegaskan penyerang Akhyar
Rashid dan Hadi Fayyadh Abdul Razak tetap berada dalam perancangannya meskipun
tidak berada dalam senarai 27 pemain bagi kem latihan pusat bermula Ahad
ini.
Beliau berkata, dua pemain
utama itu serta lapan lagi pemain tidak dapat bersama pasukan bagi latihan
persiapan Kejohanan AFF B-19 memandangkan mereka terikat dengan kempen Liga
Malaysia (Liga-M) yang tetap berlangsung sepanjang Ramadan ini.
"Latihan pusat ini
untuk mengumpul pemain (Piala Presiden) yang tidak beraksi apabila liga berehat
seketika. Kita mahu pemain ini kekal cergas kerana kita akan mengharungi
Kejohanan AFF di Indonesia, Julai ini.
"Ada 10 pemain yang
tidak dapat saya panggil kerana mereka bermain dalam Liga Super dan Liga
Perdana termasuk Akhyar dari Kedah. Seramai 27 pemain yang dipanggil ini bukan
senarai akhir untuk ke Kejohanan AFF, saya akan menilai pemain lain juga,"
kata Hodak.
Skuad muda negara akan
berlatih sembilan hari di Wisma FAM dan kemudian 23 pemain terbaik akan dipilih
untuk dibawa ke Bangkok, Thailand pada 29 Mei bagi latihan dan tiga perlawanan
persahabatan sebelum pulang ke tanah air pada 5 Jun.
Bagaimanapun, Hodak
mengakui beliau bakal berdepan kesukaran untuk mendapatkan pemain pada fasa
akhir sebelum ke Kejohanan AFF memandangkan jadual liga yang padat.
"Saya tidak mempunyai
banyak masa memanggil semua pemain sebelum kejohanan itu nanti, mungkin hanya
dua, tiga hari dapat mengadakan latihan dengan semua pemain. Saya tidak
menetapkan sasaran di kejohanan itu kerana tidak mahu memberi tekanan kepada
pemain tapi sudah pasti kita mahu menang setiap perlawanan.
"Kita akan cuba mara
ke separuh akhir terlebih dahulu dan kemudian mengintai peluang ke final. Bagi
saya Kejohanan AFF ini persiapan pasukan sebelum misi utama pada Kejohanan AFC
di Indonesia, Oktober depan," kata jurulatih kelahiran Croatia itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan