SETIAUSAHA Agung SAFA,
Alijus Sipil. - Foto Datu Ruslan Sulai
KUALA LUMPUR: Sebanyak 18
ahli gabungan yang mencalonkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia
(FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin bagi jawatan presiden dijangka tidak akan lompat
'parti' meskipun dua calon baharu tampil untuk mencabar.
Pengerusi Institut Sukan
Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dan bekas Presiden Persatuan
Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa membuat kejutan apabila mendapat
pencalonan daripada Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) dan Persatuan
Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).
Pertarungan tiga penjuru
itu sekali gus mencetuskan persoalan sama ada 18 ahli gabungan yang menyatakan
sokongan kepada Hamidin akan menetapkan pendirian atau sebaliknya dalam
pemilihan di Kongres Tahunan FAM ke-54 pada 14 Julai depan.
Setiausaha Agung Persatuan
Bolasepak Sabah (SAFA), Alijus Sipil berkata, pendirian mereka tidak berubah
dan beliau menjangkakan sebilangan besar ahli gabungan tetap akan memilih
Hamidin berbanding dua lagi pencabar itu.
"SAFA dari dulu lagi
menyokong pencalonan Hamidin, kita lebih selesa bekerjasama dengan Hamidin.
Saya rasa tak ada (tukar pendirian)," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kesemua calon perlu
mengesahkan pencalonan itu pada 14 Jun ini sama ada ingin bertanding atau
menarik diri dan sehingga kini, Azim dan Annuar belum membuat sebarang
keputusan kerana masih mahu melihat sejauh mana sokongan bakal diraih terlebih
dahulu.
Sementara itu, Presiden
Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, mereka
tetap mahukan Hamidin untuk mengisi kerusi yang ditinggalkan oleh Tunku Mahkota
Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada April lalu.
"Kita masih dengan
keputusan yang lama (memilih Hamidin). Hamidin memiliki pengalaman serta
hubungan bola sepak antarabangsa yang baik," jelasnya.
Dalam pada itu, Presiden
Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan menegaskan, tanpa
manifesto, mereka tidak akan memilih calon yang kurang dikenali.
"Sehingga kini kami tidak
lagi dihubungi oleh dua calon baharu itu (Azim dan Annuar). Kalau betul kami
nak tahu apa visi dan misi mereka. Hamidin kami sudah tahu dengan jelas apa
perancangan yang ingin dilakukan kerana itu matlamat TMJ sebelum ini.
"Saya fikir kami
memerlukan presiden sepenuh masa, bagi orang yang baharu dalam bola sepak dan
orang politik memang susah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan