PRESIDEN Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) Datuk Seri Abdul Puhat
Mat Nayan menafikan ada komplot untuk menghalang Setiausaha Agung Persatuan
Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin daripada menduduki kerusi
presiden apabila mahu mencalonkan individu lain untuk bertanding pada pemilihan
di Kongres FAM, 14 Julai depan.
Beliau berkata, Hamidin masih lagi calon pilihan mereka selepas
mendapat sokongan padu ramai pihak.
“Sekarang ini keutamaan kita untuk (mencalonkan) Hamidin
berdasarkan pengalamannya. Insya Allah keutamaan kami kepadanya, tidak ada
calon lain,” katanya.
Selepas Exco FAM menerima peletakan jawatan presiden, Tunku
Ismail Sultan Ibrahim pada 2 April lalu, kesemua 20 ahli gabungan mempunyai
masa sehingga 11 Mei depan untuk menghantar nama calon masing-masing untuk
bertanding pada Kongres FAM nanti.
Meskipun Hamidin yang namanya dicadangkan oleh Tunku Ismail
sebagai penggantinya menjadi calon pilihan ramai namun difahamkan ada persatuan
negeri tidak bersetuju dengan pencalonan itu dan cuba mempengaruhi ahli
gabungan lain untuk mencabar Hamidin.
Antara alasan yang mencetuskan rasa kurang senang itu adalah
apabila mereka menganggap Hamidin tidak berani membuat keputusan dan hanya
bertindak sebagai proksi Tunku Ismail.
Bagaimanapun Puhat menganggap, persepsi itu tidak akan menghakis
keyakinan mereka terhadap kemampuan Hamidin menerajui FAM.
“Pada saya tak timbul soal proksi. Pada saya lebih kepada
pengalaman beliau dalam mengendalikan bola sepak Malaysia dan hubungan beliau
dengan bola sepak antarabangsa FIFA dan sebagainya, itu lebih penting. Tak
timbul soal proksi sesiapa,” katanya yang mengesahkan PAFA akan menghantar
pencalonan minggu depan.
Berdasarkan
laporan Sukan NSTP sebelum ini, lebih lapan pencalonan sudah dihantar oleh ahli
gabungan yang kesemuanya memberi sokongan kepada Hamidin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan